Harian Metro

‘Pak Arab’ gusar kelicikan Akhyar

-

Kunshan, China: Kelincahan penyerang muda negara, Akhyar Abdul Rashid mengundang kebimbanga­n Arab Saudi menjelang aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, China, hari ini.

Biarpun Akhyar, 18, dilaporkan mengalami kecederaan dan masih 50-50 untuk diturunkan, namun Arab Saudi, juara 2013 tetap berwaspada.

Penolong jurulatih Arab Saudi, Saleh Al Mohamdi, mengakui kelincahan pemain Kedah itu bersama penjaring dua gol negara Safawi Rasid sememangny­a perlu diawasi dalam perlawanan penentu ke suku akhir itu.

“Dia (Akhyar) pemain yang baik dan Malaysia juga pasukan yang memiliki taktik yang bagus. Selain Akhyar, pemain nombor 6 (Safawi Rasid) dan pertahanan nombor 17 (Irfan Zakaria) juga nadi pasukan Malaysia.

“Jadi, kami sudah membuat persiapan rapi kerana esok perlawanan yang sukar buat kami. Arab Saudi dan Malaysia memerlukan kemenangan untuk mara ke pusingan kedua, tapi kami sudah bersedia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Hidup mati Arab Saudi yang dibimbing Daniel Teglia untuk mara ke suku akhir bergantung kepada keputusan menentang Malaysia selepas hanya seri 2-2 dengan Jordan dan 0-0 berdepan Iraq.

Di atas kertas sememangny­a Arab Saudi pasukan lebih ampuh apabila dibarisi 10 pemain yang pernah menimba pengalaman bersama skuad senior.

Saleh berkata, pemain bersemanga­t untuk membuktika­n kemampuan masing-masing bagi merebut tempat bersama skuad Piala Dunia di Russia.

“Ini kali pertama lawan Malaysia tapi kami sudah melihat dua perlawanan Malaysia menentang Iraq dan Jordan, kami tahu Malaysia pasukan yang baik dan kami sudah membuat persediaan.

“Lagipun, ada pemain yang bagus daripada skuad ini akan dinilai bagi menyertai skuad ke Piala Dunia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia