Harian Metro

Anas tekad kebal di benteng

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Pertahanan kental Terengganu FC I (TFC I), Nasrullah Haniff Johan tidak meletak sasaran tinggi pada saingan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu yang bermula semalam.

Sebaliknya pemain yang lebih mesra dipanggil Anas itu mahukan bentengnya lebih kebal menyekat asakan penyerang berbisa lawan sebelum aksi Liga Malaysia (Liga M) bermula pada 3 Februari depan.

“Hajat di hati mahu menjuarai Piala Menteri Besar Terengganu apatah lagi kali pertama kejohanan itu diperkenal­kan tahun ini, tapi apa yang lebih penting keserasian bersama rakan sepasukan di bahagian pertahanan perlu dititikber­atkan.

“Justeru, saya bertekad untuk memperagak­an aksi lebih mantap kerana ini antara ujian yang penting bagi kami sebelum aksi sebenar dalam saingan Liga M nanti,” kata pemain kelahiran Seremban itu.

Musim ini pemain yang dilabel sebagai ‘kereta kebal’ Terengganu itu mendapat rakan seposisi baharu dari Montenegro iaitu Igor Zonjic yang menggantik­an pemain terdahulu dari Brazil, Lazaro Vicinius.

Selain itu, pemain yang mempunyai ketinggian 1.80 meter itu juga mendapat tiga lagi rakan baru iaitu Hasnizaidi Jamian, Fitri Omar dan Kamal Azizi Zambri.

Malam ini TFC I kendalian Irfan Bakti Abu Salim akan membuka tirai perlawanan bertemu pasukan jiran, Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini.

Selain TFC I dan Pahang, turut beraksi dalam kejohanan itu Melaka United dan Terengganu FC II.

 ??  ?? NASRULLAH (kanan) mahu sekat penyerang berbisa lawan.
NASRULLAH (kanan) mahu sekat penyerang berbisa lawan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia