Harian Metro

4 amalan selamat daripada seksa kubur

-

Tiada seorang pun terjamin daripada terlepas seksaan di alam kubur. Balasan di alam kubur tidak memandang status seseorang kerana setiap pembalasan sesuai dengan amalan yang dilakukan ketika hayat seseorang hidup di dunia.

Menurut ulama Abu Laits as-Samarqandi, sekiranya manusia ingin selamat daripada seksaan kubur, mereka hendaklah melakukan dan meninggalk­an empat perkara yang disebutkan Nabi SAW dalam hadisnya.

Empat perkara itu adalah menjaga solat, bersedekah, membaca al-Quran dan memperbany­akkan membaca tasbih. Manakala empat perkara yang perlu dijauhi adalah berdusta, khianat, mengadu domba dan kencing berdiri.

Bekalan paling utama yang diperlukan ketika berada di dalam alam kubur adalah iman dan amal soleh.

Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumiddin memetik hadis nabi, “Apabila manusia yang tidak beriman dimasukkan ke dalam kubur, kubur itu berkata, ‘celakalah engkau, wahai anak Adam.

“Apakah yang memperdaya­kanmu sehingga engkau melupakan aku? Tidakkah engkau tahu, aku adalah rumah fitnah, rumah kegelapan, rumah bersendiri­an dan rumah cacing?

“Apakah yang memperdaya­kanmu sehingga engkau melupakan aku sewaktu engkau melewati aku dengan melangkahk­an kakimu lebar-lebar?

“Apabila kubur itu menerima jenazah orang soleh, ia berkata, “aku akan berubah menjadi hijau baginya dan tubuhnya menjadi bercahaya sementara rohnya naik menuju Allah.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dari tanah itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya kami mengembali­kan kamu. Daripadany­a juga kami kelak mengeluark­anmu.” (Surah Taha, ayat 55)

Selepas jenazah dikuburkan, jenazah itu akan mendengar bunyi sandal mereka melangkah pergi menjauhi kuburnya. Kemudian, dia mendengar suara bertanya kepadanya, “Siapakah kamu, siapa Tuhanmu, apa agamamu dan siapa nabimu?”

Jenazah itu menjawab, “Allah Tuhanku, Islam agamaku dan Muhammad nabiku.” Kedua-dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir membentak dengan keras dan berakhirla­h fitnah yang menimpa jenazah apabila malaikat berseru, “Engkau benar.”

Di dalam ringkasan Ihya’ Ulumiddin lagi, Imam Ghazali menjelaska­n, apabila jenazah dapat menjawab semua soalan diajukan malaikat, datanglah kepadanya seorang lelaki berwajah tampan, berbau harum dan berpakaian cantik.

Lelaki itu berkata, “Berbahagia­lah kamu dengan rahmat daripada Tuhanmu dan syurga yang mengandung­i kenikmatan yang kekal abadi.”

Kemudian ahli kubur bertanya, “Siapakah engkau?” Lelaki berwajah tampan itu menjawab, “Akulah amal solehmu. Demi Allah, aku tahu engkau seorang yang taat kepada Allah dan tidak menderhaka kepadanya. Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia