Harian Metro

Sejarah tercipta!

-

 Gol tunggal Daniel Amier pastikan skuad B-23 negara mara suku akhir selepas benam Arab Saudi malam tadi

Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) membuat kejutan terbesar di Kejohanan AFC B-23 apabila menewaskan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 di Stadium Kunshan semalam untuk mara ke suku akhir.

Dengan kemenangan itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee, tampil buat kali pertama muncul naib juara Kumpulan C untuk mengiringi Iraq yang menewaskan Jordan 1-0 dalam satu lagi aksi di Stadium Changshu.

Ia perlawanan hidup mati buat skuad Malaysia bagi melepasi halangan Kumpulan C selepas mengutip satu mata hasil seri 1-1 dengan Jordan dan tewas 1-4 di tangan Iraq sebelum ini.

Tidak banyak perubahan dilakukan oleh Kim Swee dalam kesebelasa­n utama apabila hanya memasukkan R Kogileswar­an menggantik­an Jafri Firdaus Chew di bahagian depan manakala Safawi Rasid dan Akhyar Abdul Rashid yang dilaporkan cedera tetap beraksi.

Arab Saudi dibimbing jurulatih dari Argentina, Daniel Eduardo Teglia turut terdesak memburu kemenangan selepas seri 2-2 menentang Jordan dan 0-0 Iraq pada dua perlawanan awal.

Sebaik perlawanan bermula, Arab Saudi tidak menunggu lama untuk mengancam kubu Malaysia.

Sepakan percuma Fahad Al Rashidi yang terkena palang pada minit ke-3 dan tandukan Abdulelah Alamri (m-16) yang ditepis keluar penjaga gol Haziq Nadzli memberi tekanan kepada pasukan negara.

Namun di sebalik penguasaan bola pemain Arab Saudi, mereka dikejutkan dengan jaringan pertama Malaysia menerusi rembatan deras pemain tengah Daniel Amier Norhisham dalam kotak penalti hasil gerakan Matthew Davies pada minit ke-28.

Pada separuh masa kedua, Arab Saudi bangkit mengasak dari setiap sudut dan terpaksa menggunaka­n hantaran jauh untuk cuba melepasi pertahanan negara yang ampuh bertahan.

Malaysia bakal beraksi di suku akhir pada 20 Januari ini di venue sama bertemu juara Kumpulan D yang bakal ditentukan oleh Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Syria.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia