Isteri, anak ditahan
Lima individu termasuk dua beranak direman lima hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat lelaki yang disyaki dibunuh di sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari 2 3/6, Taman Nusa Bestari dekat Skudai, kelmarin.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru, Norhidayah Abd Manaf bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap kelima-lima suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tempoh tahanan reman itu berkuat kuasa semalam dan berakhir 22 Januari ini. Lima suspek yang ditahan petang kelmarin terdiri daripada isteri mangsa, 40, anak lelaki mangsa, 17, dan tiga rakan kepada anak mangsa itu yang semuanya berusia 18 tahun.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Kiu Kok Ying, 46, ditemui mati di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu dalam keadaan berlumuran darah dan mengiring ke kiri dengan satu kesan tikaman di dada kirinya dipercayai menggunakan pisau.
Terdapat titisan darah dari bilik utama dipercayai bilik tidur mangsa di tingkat atas hingga ke tempat mayatnya ditemui dan terdapat kesan pergelutan di bilik utama itu apabila rak baju terjatuh dan katil berselerak, namun tiada barang yang hilang serta tiada kesan pecah rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati panggilan telefon diterima polis jam 11.08 pagi kelmarin mengenai kejadian pecah rumah di lokasi itu sebenarnya dibuat seorang daripada suspek yang juga rakan anak mangsa menggunakan nama orang lain.
Beliau juga mengesahkan senjata iaitu pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui di sekitar kawasan Skudai, petang kelmarin apabila suspek membuangnya ke dalam tong sampah.