Tiga ‘setan’
Ahli perniagaan rugi RM780,000 dakwa ditipu ‘pegawai’ agensi berbeza
Seorang ahli perniagaan mendakwa kerugian RM780,000 selepas menerima panggilan daripada tiga individu berbeza yang menyamar sebagai sebagai pegawai daripada pelbagai agensi berbeza, dipercayai sindiket Macau Scam, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 58 tahun, menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank tempatan.
Menurutnya, dalam perbualan itu, suspek memaklumkan mangsa ada berhutang kad kredit RM3,970.75 dan seterusnya menghubungkan perbualan berkenaan kepada seorang lagi pegawai dari Bank Negara untuk tindakan lanjut.
“Sebelum perbualan dihubungkan, mangsa dikatakan mendedahkan semua maklumat peribadi termasuk jumlah wang tunai yang dimilikinya kepada pegawai bank berkenaan.
“Sekitar jam 11 pagi pada hari sama, mangsa menerima satu lagi panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis yang menyiasat kes mangsa.
“Pegawai polis memaklumkan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang, mangsa perlu memindahkan semua wang miliknya kepada suspek melalui
tiga akaun berbeza,” katanya, semalam.
Tambahnya, suspek terbabit turut menjanjikan semua wang yang dipindahkan kepada tiga akaun itu akan dimasukkan semula ke dalam akaun mangsa dalam tempoh 24 jam selepas siasatan dijalankan.
“Panik dengan keadaan itu, mangsa memindahkan semua wangnya kepada satu nama melalui tiga akaun berbeza melalui transaksi di sebuah bank di sini.
“Namun, selepas tempoh 24 jam mangsa dikatakan memeriksa semula akaun miliknya namun terkejut apabila mendapati wang yang dipindahkan tidak dimasukkan semula ke dalam akaunnya, malah hanya berbaki RM26.
“Lebih mengejutkan mangsa sekali lagi dihubungi seorang suspek yang meminta wang tambahan berjumlah RM120,000 dimasukkan ke akaun yang dinyatakan berikutan wang sedia ada (RM780,000) tidak mencukupi,” katanya.
Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang mula merasakan dirinya ditipu segera membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Polis masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sepanjang tahun ini sebanyak empat kes penipuan panggilan telefon ‘Macau Scam dengan jumlah kerugian RM789,100.
“Kes ini penipuan terbesar sepanjang tahun ini dan pada tahun 2017 IPD Kerian menerima 63 kes Macau Scam dan sejumlah tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan jumlah kerugian RM409,500,” katanya.
Pada sidang media berkenaan, Omar Bakhtiar turut mendedahkan kejayaan pihaknya menyelesaikan kes penipuan menyamar kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlaku pada 13 November lalu, di Tanjung Piandang, Parit Buntar di mana mangsa seorang lelaki berusia 60 tahun.