Ernie cerewet demi kualiti
Mahu lagu dinyanyikannya relevan
untuk jangka masa panjang
Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, dia juga gembira kerana Aku Cinta adalah hasil kerjasama dengan kawan baiknya sendiri.
“Siapa yang tak gembira apabila dapat bekerja dengan kawan sendiri. Paling seronok apabila lagu itu juga layak dan bakal bertanding di pentas AJL32 (Anugerah Juara Lagu
32) pada 11 Februari ini,” katanya.
Pada usia kerjaya selama lapan tahun, Ernie juga mengakui lebih cerewet dalam memastikan karya yang dihasilkan untuknya berkualiti.
“Dalam memilih karya, saya memang mengambil masa yang lama dan agak cerewet. Namun, bukanlah sehingga tahap diva atau apa.
“Kalau boleh, saya inginkan karya yang mampu bertahan walaupun selepas 20 tahun akan datang. Saya nak lagu nyanyian relevan untuk jangka masa panjang dan kerana itulah, kualiti adalah keutamaan saya,” katanya.
Bercerita mengenai persediaan untuk AJL32, Ernie berkata, dia sangat gementar namun itu akan menjadi kenangan manis buatnya.
“Ini adalah kali pertama saya bertanding di pentas AJL. Rasa gementar memang tak dinafikan, sentiasa ada. Tapi, saya dan Syamel saling menyokong dan memberi semangat antara satu sama lain.
“Syamel pun terpaksa membahagikan komitmennya kepada dua bahagian memandangkan dia akan bertanding untuk dua lagu. Saya faham dengan tanggungjawabnya,” katanya.
Tahun 2018 juga bakal menyaksikan Ernie hadir dengan single terbaru yang masih dirahsiakan judulnya.
“Judulnya akan diumumkan kelak. Buat masa sekarang, apa yang saya boleh kongsikan ialah ia lagu ciptaan Ghufran dan Sang Hitam,” katanya.
Bercerita mengenai single barunya itu, Ernie berkata, ia akan kembali kepada genre ketika dia awal-awal menjadi penyanyi.
“Saya bermula dengan lagu balada dan kali ini kembali ke genre itu. Yang pasti, lagu itu ada kekuatan tersendiri dari segi melodi.
“Ghufran sebelum ini pernah menghasilkan lagu popular antaranya Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli, jadi tentunya peminat sudah tahu identiti muzik yang akan dihasilkannya,” katanya.
Ernie sentiasa mengharapkan single terbarunya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat, seperti yang diterima menerusi lagu Aku Cinta. -Syafil Syazwan Jefri