Lonjak hasil padi
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan memberi fokus dalam program peningkatan hasil padi terutama di kawasan yang mengeluarkan hasil rendah kurang daripada empat tan sehektar.
Bermakna, satu program khas perlu dijalankan untuk petani terbabit melalui program pengembangan dan bimbingan yang spesifik.
Ia membabitkan pasukan pengembangan mengikut blok bagi mengenal pasti dan bersedia untuk membimbing kelompok petani berkenaan.
Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Pengerusi MADA Datuk
Wira Othman Aziz berkata, sumber kekayaan baru dalam industri pertanian diberi penekanan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, bagi kawasan MADA, penanaman kelapa dilihat bersesuaian untuk dijalinkan bersama penanaman padi dan mempelam.
“Selain itu, MADA juga perlu memberi penekanan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi membolehkan mereka mencapai pendapatan bersih RM5,000 sebulan.
“Kumpulan Peladang Muda juga merupakan agenda yang cukup penting dan perlu diberi penekanan pada tahun ini selari dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Amanat MADA Tahun Baru 2018 di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini. Turut hadir, Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA Syed Zainuddin Syed Zain dan Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA Robiah Lazim.
Othman berharap amanat itu dapat memberi panduan kepada warga MADA untuk mengorak langkah dengan lebih jelas dalam mempertingkatkan
Satu program khas perlu dijalankan kepada petani melalui program pengembangan dan bimbingan spesifik
perkhidmatan kepada golongan sasar.
“Ia akan lebih jelas ke arah mencapai aspirasi MADA untuk melebihkan pengeluaran hasil negara dan menjalankan tanggungjawab serta amanah yang diberikan kepada kita untuk kesejahteraan peladang MADA.
“Antara peristiwa dan pencapaian penting MADA sepanjang tahun lalu ialah pelaksanaan percubaan berskala besar penggunaan baja CRF dan semburan menggunakan dron di kawasan MADA.
“Pelaksanaan ini memberi impak yang besar dan kita mendapat banyak maklum balas positif atau negatif untuk digunakan sebagai panduan pada tahun ini,” katanya.
Menurutnya, selaku nadi jelapang padi negara MADA bertanggungjawab untuk sentiasa melangkah ke hadapan khususnya dalam penggunaan teknologi baru. Paling penting, usaha ini dapat membantu peladang menambah pendapatan.
“Tahun lalu, kita menghadapi dua fenomena yang bertentangan iaitu pada awal tahun ketika hendak memulakan musim 1/2017, kita dilanda cuaca panas dan keadaan takungan air di empangan juga rendah hingga kempen tabur terus kering terpaksa dilaksanakan.
“Kita masih meneruskan musim seperti biasa dan pengurusan pengairan dijalankan dengan penuh berhati-hati berikutan sumber air yang terhad.
“Sementara pada penghujung tahun lalu, kita diuji dengan musim hujan. Namun melalui pengalaman dan pengurusan data serta sumber manusia, kita mampu menguruskan lebihan air dengan impak banjir yang minimum di Kawasan Muda,” katanya.