Pencuci berasaskan buah mahkota dewa
Program Siswazah
Tani (PST) yang pernah diperkenalkan kerajaan suatu ketika dulu bertujuan membimbing graduan universiti menceburi bidang pertanian moden memberi inspirasi buat lelaki ini untuk menerajui bidang itu.
Pemegang diploma dalam bidang pengurusan koperasi dari Maktab Koperasi Malaysia (MKM) Muhammad Mahadi Akip Idris, 28, tekun menimba ilmu daripada bapanya selaku Pengarah Syarikat Abada Tayeba Sdn Bhd (Abada Tayeba).
Menurutnya, syarikat itu beroperasi empat tahun lalu memberi tumpuan dalam penghasilan produk cucian pakaian, racun serangga, minuman kesihatan, cucian cecair untuk peralatan dapur seperti kuali, pinggan mangkuk dan gelas selain syampu badan berasaskan buah mahkota dewa atau nama saintifiknya Phalenia Macrocarpa.
“Kami menggunakan buah herba ini kerana ia mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan yang mengandungi polifenol, flavonoid, alkaloid dan saponin yang baik untuk melancarkan pengaliran darah serta antibakteria selain sesuai dijadikan bahan bagi menghasilkan produk pencuci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan Penyelaras Barisan Nasional (BN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil Datuk Mohd Khairul Azhar Abdullah di bengkel pengeluaran produk berkenaan di Parit Panjang, Baling, Kedah, baru-baru ini.
Kunjungan penyelaras DUN terbabit adalah sebahagian program pemantauan projek industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan berkenaan dengan memberi semangat serta bimbingan supaya perusahaan itu berdaya maju.
Muhammad Mahadi Akip berkata, pihaknya yakin boleh membantu kerajaan mencapai matlamat melonjakkan bidang IKS kerana memiliki kepakaran, pengalaman dan bengkel penghasilan produk selain ladang tanaman berkenaan seluas dua hektar.
Beliau berkata, untuk menghasilkan produk hanya buah mahkota dewa yang masak digunakan.
“Sebelum menjalani proses pengadunan, buah mahkota dewa perlu dijemur di bawah cahaya matahari di kawasan lapang selama dua atau tiga jam.
“Selepas itu, ia dihiris untuk dimasukkan ke dalam mesin pemanas khas selama sejam sebelum menjalani proses terakhir iaitu dimasukkan ke dalam mesin pengisar untuk dijadikan serbuk.
ADA TARIKH LUPUT
Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dan waswas menggunakan produk keluaran syarikat Bumiputera itu kerana selain dijamin suci dan halal, produk berkenaan juga patuh kepada syarat pengeluaran barangan di pasaran iaitu mempunyai tarikh luput seperti produk berjenama lain.
“Sebelum menghasilkan produk ini, bapa saya membuat kajian dalam pelbagai perkara berkaitan herba mahkota dewa di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Selangor.
“Beliau juga mengikuti kursus berkaitan penghasilan produk berasaskan herba di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam,” katanya.
Sementara itu,
Mohd Khairul Azhar berkata, perusahaan
IKS seumpama itu perlu dibantu, terutama berkaitan penghasilan produk berteknologi, pengurusan ladang, pemasaran dan pembungkusan kerana kerajaan tidak mahu program pembangunan ekonomi desa sekadar mampu bersaing di kawasan terhad saja.
“Kegigihan Abada
Tayeba umpamanya dalam mengusahakan projek berkenaan menggunakan dana sendiri membuka ladang dan membina bengkel membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM200,000 perlu dibantu untuk memasuki pasar raya dan kompleks beli-belah terkenal.
“Saya akan membantu syarikat ini dengan mendapatkan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan tertentu seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkaitan kursus secara menyeluruh dalam bidang pengurusan serta pemasaran produk IKS,” katanya.