Hiasan comel nampak glamor
Pemilihan beg tangan untuk acara keraian pastinya berbeza dengan beg untuk ke pejabat. Selain potongannya yang lebih comel, rekaannya pula menyelitkan unsur glamor seperti ditambah perincian perhiasan pada bahagian tertentu seperti manik, reben atau rambu pada zip.
Rambu atau juntaian ini sering juga dilihat pada beg tangan jenama mewah disertakan label jenama. Ia berfungsi memudahkan wanita membuka beg dengan selesa. Perhiasan berbentuk juntaian ini direka dengan pelbagai bentuk dan warna. Ada dihasilkan daripada kulit, fabrik atau aluminium.
Bagi pereka beg tangan buatan tangan, Siti Nor Hanir Misro, 43, kekerapan menghasilkan beg tangan untuk pelanggan menye- babkan dia mahir membuat perhiasan beg tangan sendiri.
Menurut Siti Nor Hanir untuk menghasilkan hiasan comel di beg ini tidaklah terlalu sukar. Bahan diperlukan juga tidak banyak, sekiranya lengkap tidak sampai 15 minit rambu dapat disiapkan sepenuhnya.
Tambahnya lagi perhiasan ini tidak boleh terlalu besar atau kecil. Ia bergantung kepada ukuran beg tangan. Apa yang penting adalah penutup bahagian atas bagi menguat dan mengetatkan juntaian.
“Memang sangat mudah melakukannya. Ini kerana saya hanya menggunakan fabrik seperti getah bersama penutup perhiasan. Pemilihan warna pula bergantung kepada kreativiti masingmasing,” katanya yang menunjukkan cara mudah menghasilkan perhiasan berbentuk rambu untuk pembaca Harian Metro.