Bina 122 rumah mampu milik
Kuching: Sebanyak 122 unit Rumah Mampu Milik (RMR) dibina di Kampung Bunga Rampai, di sini, bagi menyediakan kemudahan perumahan kepada penduduk di kampung itu. Projek perumahan itu dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak melalui kontraktor Saratech Sdn Bhd.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, pelaksanaan projek hasil inisiatif kerajaan negeri itu cukup penting kepada penduduk di kawasan kampung itu.
Ini kerana katanya, selain memberi kemudahan rumah, ia juga alternatif bagi menyelesaikan masalah banjir dan ancaman tanah runtuh yang membelenggu penduduk di situ sejak sekian lama.
Menurutnya, melalui projek RMR itu, penduduk boleh berpindah ke kawasan yang lebih selamat di samping membolehkan mereka tinggal dalam kediaman yang lebih selesa.
“Sebilangan besar penduduk Kampung Bungai Rampai mendirikan rumah di tebing sungai menyebabkan mereka sering dilanda banjir dan terdedah kepada ancaman tanah runtuh.
“Saya gembira kerana hampir 35 tahun penduduk di kampung itu menunggu projek seperti ini, saya yakin ia memberi banyak manfaat kepada penduduk di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan Perakuan Pemilikan Tapak Projek RMR Kampung Bunga Rampai antara HDC Sarawak kepada Saratech Sdn Bhd, di sini, kelamrin.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif HDC Sarawak Mohamad Asman Ahmad, Pegawai Daerah Bau Anielia Siam, dan Ketua Kampung Bunga Rampai Rafaee Bujang.
Mengenai harga rumah dan tarikh mula projek dijalankan, Lo tidak mahu menjelaskan lanjut mengenai perkara itu.