WANITA DIRAGUT 2 BERADIK MENINGGAL
Mangsa koma diragut dua beradik hembus nafas terakhir pagi semalam
“Dia pernah sebut mahu berehat panjang tahun ini dan tidak mahu aktif berpersatuan lagi. Nampaknya ini ‘rehat’ yang ditakdirkan Allah,” kata Mohd Zairie Mohamad Zain, 48, suami mangsa ragut, Maria Erianty Zakaria, 40, yang meninggal dunia, semalam.
Maria Erianty menghembuskan nafas terakhir jam 9.25 pagi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, selepas koma lapan hari akibat kecederaan serius di kepala susulan terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Kampung Sri Rebana, Machang, 10 Januari lalu.
Menurut Mohd Zairie, arwah isterinya sebelum ini aktif berpersatuan termasuk menyertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Machang.
“Saya tidak pernah menghalang, malah sentiasa menyokong pembabitannya, namun beberapa bulan lalu, arwah tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk berehat panjang.
“Malah, dia juga sempat bercuti dengan anak bongsu di Melaka beberapa hari sebelum kejadian itu. Melainkan soal berehat itu, arwah tidak menunjukkan perubahan dan kelakukannya seperti biasa.
“Pemergiannya begitu dirasai terutama empat anak kami yang memang rapat dengan arwah. Kami reda kehilangannya kerana ini takdir Allah,” katanya ketika ditemui di HUSM di sini, semalam.
Katanya, sepanjang dirawat, arwah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya pada 11 Januari lalu dan keadaannya stabil meskipun tekanan darah masih tidak menentu.
“Selepas pembedahan itu, kesihatannya nampak baik, namun dua hari lalu, kesihatannya tiba-tiba merosot dan hari ini (semalam), arwah sepatutnya menjalani pembedahan memasukkan tiub pernafasan di leher.
“Segalanya sudah ditentukan yang ajalnya tiba hari ini (semalam). Saya perlu reda dan bersyukur sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya yang berharap dua beradik menyebabkan kematian isterinya itu dijatuhi hukuman setimpal.
Dia mahu mahkamah memberi pengajaran kepada kedua-dua penjenayah itu kerana mengakibatkan empat anaknya kehilangan ibu dan dia pula hilang isteri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan kematian mangsa.
“Sebelum ini, kedua-dua suspek berusia 14 dan 26 tahun disiasat mengikut Seksyen 395, Kanun Keseksaan.
“Ia berdasarkan fakta kes di mana mangsa terjatuh dari motosikal ketika kejadian dan bukan dijatuhkan, malah mangsa juga sempat mengejar suspek sejauh dua kilometer (selepas diragut) dengan motosikalnya sebelum terjatuh,” katanya.
Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun yang tamat reman kelmarin disambung reman hingga Ahad ini untuk siasatan kes pecah rumah dan jenayah lain manakala adiknya yang tamat reman semalam akan disambung reman empat hari lagi.
Akhbar sebelum ini melaporkan Maria Erianty diragut dua beradik ketika dalam perjalanan menyertai senamrobik di Kampung Sri Rebana, Machang, jam 6.30 petang, 10 Januari lalu.
Dua beradik itu ditahan sejurus kejadian dan didapati positif methamphetamine.
Pemergiannya begitu dirasai terutama empat anak kami yang memang rapat dengan arwah. Kami reda kehilangannya kerana ini takdir Allah” Mohd Zairie Mohamad Zain