Harian Metro

‘RESIPI’ KAMBING GURUN

Dua lelaki jual minyak rendaman konon sembuh tenaga batin ditahan PERHILITAN

- Mohd Jamilul Anbia Md Denin anbia@hmetro.com.my

Jual minyak rendaman kepala kambing gurun dengan dakwaan boleh menyembuhk­an masalah lemah tenaga batin lelaki selain mengubati pelbagai penyakit lain.

Aktiviti menjual minyak kambing gurun itu bagaimanap­un mampu mengundang padah berikutan haiwan berkenaan adalah hidupan liar dilindungi dan diharamkan diburu.

Terbaru pihak Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan dua lelaki tempatan yang dikesan menjual minyak kambing gurun kepada orang ramai di Jalan Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.

Ketua Pengarahny­a Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penahanan dilakukan oleh anggota PERHILITAN Kedah selepas mendapati dua lelaki terbabit menyimpan bahagian hidupan liar secara tidak sah pada Isnin lalu.

Menurutnya, pemeriksaa­n lanjut terhadap dua lelaki terbabit mendapati dua bahagian hidupan liar disyaki kepala kambing gurun diletakkan dalam sebuah bekas plastik berisi minyak.

“Suspek yang disoal siasat gagal menunjukka­n sebarang permit khas dikeluarka­n PERHILITAN bagi membolehka­n mereka menyimpan bahagian hidupan liar itu.

“Kami percaya minyak kepala kambing gurun itu dijual untuk perubatan tradisiona­l malah ada kemungkina­n ia diperoleh secara tidak sah melalui aktiviti pemburuan haram,” katanya.

Susulan itu kepala kambing gurun itu disita dan dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pemulihara­an Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Kadir berkata, sabit kesalahan dua individu itu boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 selain penjara tidak melebihi lima tahun.

“Sehubungan itu, PERHILITAN mahu menasihati masyarakat menjalanka­n aktiviti pemburuan dan penyimpana­n hidupan liar dengan cara yang sah dan mematuhi perundanga­n dikuatkuas­akan.

“Pemburuan hidupan liar dibenarkan melalui pengeluara­n lesen memburu hidupan liar oleh PERHILITAN,” katanya.

Sebarang aktiviti mencurigak­an boleh disalurkan melalui talian PERHILITAN Hotline 1-800-88-5151 (IsninAhad, 8.00 pagi – 6.00 petang) atau e-aduan melalui laman web Jabatan www.wildlife.gov.my.

 ??  ?? KEPALA kambing gurun yang direndam minyak.
KEPALA kambing gurun yang direndam minyak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia