Harian Metro

Wajib ikut sujud sahwi bersama imam

-

1. Selepas selesai mengerjaka­n solat, tiba-tiba ada orang memberitah­unya solatnya tidak sah kerana terdapat najis pada pakaian atau badannya.

Adakah dia dimestikan supaya mengulangi solatnya semula atau tidak perlu?

Jika benar terdapat najis seperti yang dinyatakan atau dia yakin dengan perkhabara­n itu, maka dia diwajibkan mengulangi solatnya semula kerana solatnya dikira tidak sah.

2. Jika seseorang yang mengerjaka­n solat melakukan atau meninggalk­an lebih daripada dua perkara yang memerlukan sujud sahwi, adakah memadai baginya dengan hanya satu sujud sahwi sahaja (dua kali sujud)?

Memadai baginya melakukan satu sujud sahwi sahaja (dua kali sujud) di akhir solatnya sebelum salam walaupun dia melakukan banyak perkara yang menyebabka­n sujud sahwi.

3. Seorang makmum (masbuk) mengikut solat di belakang imam yang melakukan sesuatu kesilapan yang memerlukan sujud sahwi.

Sedangkan ketika imam melakukan kesilapan itu, makmum itu belum lagi mengikuti imamnya. Adakah dia disunatkan supaya melakukan sujud sahwi di akhir solat sebelum memberi salam?

Atau memadai dia melakukan sujud sahwi bersama imamnya sebelum dia bangun menambah bilangan rakaat yang kurang kerana dia mengikuti imam yang melakukan kecacatan dalam solat?

Dia disunatkan supaya melakukan sujud sahwi di akhir solatnya (walaupun dia sudah melakukan sujud sahwi bersama imam sebelum imam memberi salam) kerana mendatangk­an cedera disebabkan mengikut imam yang cedera pada solatnya.

4. Apabila seorang imam melakukan sujud sahwi (tidak kira apa sebab sekalipun), adakah menjadi wajib bagi makmum mengikut sujud bersama imam seolah-olah sebagai satu rukun pada hak makmum? Jika dia tidak sujud bersama imam adakah akan terbatal solatnya?

Diwajibkan ke atas makmum supaya mengikut sujud sahwi bersama imam sama ada dia makmum muafik atau makmum masbuk. Jika dia tidak ikut sujud bersama imam dan tidak pula berniat untuk mufaraqah, maka batal solatnya.

5. Seorang yang melakukan perkara yang menyebabka­n dia dikehendak­i supaya melakukan sujud, lalu dia pun berniat untuk melakukan sujud sahwi (di akhir solatnya).

Namun, dia hanya melakukan sekali sujud sahaja dan terus memberi salam. Adakah sah solatnya atau tidak? Jika solatnya masih dikira sah, adakah dia dikira sebagai mendatangk­an sesuatu yang boleh mencacatka­n solatnya atau tidak?

Sekiranya dia berniat sejak awal lagi untuk melakukan sekali sujud saja dan menyimpan satu sujud sedangkan dia mengetahui sujud sahwi mempunyai dua kali sujud, maka batal solatnya.

Tetapi, jika dia tidak berniat untuk melakukan satu kali sujud cuma tanpa disedari, maka solatnya masih dikira sah. Kekurangan bilangan sujud bagi sujud sahwi itu tidak mencacatka­n solatnya.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia