Harian Metro

JANJI DAREN

- Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my

 Mahu berjuang habis-habisan ketika bertemu Axelsen

di separuh akhir Malaysia Masters, hari ini

Pemain perseorang­an lelaki profesiona­l negara, Liew Daren berjanji akan berjuang habis-habisan apabila bertemu pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi separuh akhir Malaysia Masters, hari ini.

Daren menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam acara perseorang­an lelaki yang masih meneruskan cabaran apabila mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsan­on 21-18, 21-17 dalam aksi suku akhir di Arena Axiata Bukit Jalil, semalam.

Viktor pula menang ke atas pemain Indonesia, Jonathan Christie 21-15, 19-21, 21-12.

Pertemuan Daren dengan Axelsen boleh disifatkan klasik buat bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu yang menyaksika­n dia berjaya menewaskan lawan itu di pentas final Terbuka Perancis 2012 - satu-satunya gelaran Siri Super yang berjaya dimenangi sepanjang kerjayanya.

Bagaimanap­un, Daren berkata, selepas enam tahun situasi kini sudah berbeza dengan Axelsen sudah bergelar pemain nombor satu dunia dan muncul juara dunia 2017.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok. Pertemuan saya dengan Axelsen enam tahun lalu tidak lagi boleh diambil kira dengan dia kini sudah menjadi pemain utama dunia.

“Namun, saya akan cuba tidak memberi laluan mudah kepada Axelsen dan akan berjuang habis-habisan. Kita tunggu dan lihat perlawanan esok,” kata Daren yang turut tewas kepada Axelsen ketika Terbuka Malaysia tahun lalu.

Ini adalah kali kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu Daren melangkah ke separuh akhir selepas turut melakukann­ya ketika saingan Thailand Masters di Bangkok, minggu lalu.

Dia yang meninggalk­an BAM pada Januari 2016 kini dilihat beraksi tanpa sebarang tekanan berbanding ketika bernaung dengan badan induk itu sehingga dia menjadi mangsa kecaman peminat tempatan susulan aksi hambarnya.

Paling tidak boleh dilupakan ketika dia disifatkan punca kegagalan skuad negara yang sekadar muncul naib juara Piala Thomas 2014 di New Delhi, India selepas tewas kepada Jepun 2-3 yang menyaksika­n dia kecundang pada perlawanan penentuan ketika aksi terikat 2-2.

Bagaimanap­un, kini Daren membuktika­n dia masih lagi relevan biarpun sudah bergerak secara profesiona­l dengan berjaya menjadi naib juara Korea Selatan dan Taiwan Masters 2016 - sesuatu yang gagal dilakukann­ya ketika bersama BAM selepas muncul juara Terbuka Perancis 2012.

“Saya tidak meletak sasaran tinggi dan tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri. Itu antara kunci utamanya. Selepas dua kali melangkah ke separuh akhir dalam tempoh dua minggu ini, sudah pasti saya mahu ke final tetapi ia perlawanan yang sukar,” kata Daren.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia