Harian Metro

TIMAH, ABU PENYERI HIDUP

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

 Norhafizza­n anggap menyayangi kucing

sebahagian daripada ibadah

Kalau melihat daripada susuk tubuh sasa Mohammad Norhafizza­n Mohd Noor, pasti ramai menganggap pemain yang mampu beraksi di posisi tengah dan penyerang DRB-HICOM itu adalah seorang yang kasar baik di dalam mahupun di luar padang.

Namun siapa sangka, bekas pemain FELCRA FC itu mempunyai sifat penyayang yang amat tinggi terhadap binatang terutamany­a kucing.

Atas faktor itu, tidak hairanlah apabila Norhafizza­n sendiri membela dua ekor kucing dari baka luar negara yang masing-masing dinamakan Timah dan Abu.

Kedua-dua ekor kucing itu dibela sejak usia dua bulan lagi dengan Timah kini berusia lima tahun manakala Abu dua tahun

“Memang ramai pun rakan-rakan yang bergurau dengan saya mengatakan badan sasa tapi bela kucing.

“Tapi saya tak ambil kisah pun dengan gurauan mereka itu kerana bagi saya setiap orang ada hobi dan minat masing-masing.

“Untuk saya, membela kucing ini ada hikmahnya kerana ia memurahkan rezeki kita dan sebahagian daripada cara bersedekah.

“Bagi saya bab bersedekah bukan saja perlu dilakukan dengan menyumbang duit di tabung masjid, sebaliknya membela kucing dan bagi makanan untuk kucing pun sebahagian daripada ibadah.

“Jika kita sebagai manusia tak dapat beri makanan kepada binatang, siapa lagi yang mahu menjaga mereka?” katanya memulakan cerita.

Jelas pemain berusia 28 tahun itu, kasih sayanganya terhadap Timah dan Abu tidak pernah berbelah bagi.

Dia sanggup menghabisk­an duit membeli Timah pada harga RM1,300 sementara Abu RM800 ketika kedua-duanya baru berusia dua bulan.

“Setiap bulan pula saya habiskan kira-kira RM300 untuk makanan biasa serta makanan tambahan untuk kedua-duanya.

“Kucing ini memerlukan penjagaan yang rapi supaya tahap kesihatann­ya sentiasa baik.

“Kalau saya terbabit dengan latihan atau perlawanan, isteri dan mak mentua saya akan pastikan dapat menjaga Abu dan Timah,” katanya.

Jelas Norhaffiza­n lagi, tidak mustahil untuknya menambah beberapa lagi ekor kucing pada masa depan.

“Untuk sekarang, cukuplah sekadar dua saja. Tapi saya memang ada impian untuk membela beberapa ekor kucing lagi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia