Harian Metro

‘Dah sedia hingga sepakan penalti’

-

Kunshan, China: Selepas pasukan pilihan Arab Saudi menjadi mangsa, skuad negara yang dilabel sebagai ‘pembunuh gergasi’ di Kejohanan Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun bersedia melakukan satu lagi kejutan apabila bertemu Korea Selatan pada aksi suku akhir di Stadium Kunshan, China, petang ini.

Pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee bagaimanap­un mengakui ia bukan tugas mudah berdepan naib juara 2016 itu, namun sudah bersedia menghadapi segala kemungkina­n termasuk aksi berlarutan ke sepakan penalti.

“Korea Selatan sudah biasa bermain di pentas besar, mereka sudah meraih pelbagai kejayaan. Ia bukan perlawanan mudah dan harap pemain dapat menyaingi kehebatan mereka.

“Memang pemain biasa bermain dengan tekanan penyokong yang ramai tapi situasi ini berbeza, ia perlawanan lebih kompetitif. Kami datang ke sini untuk belajar sesuatu tapi dalam masa mahu mencipta kejutan.

“Saya mahu pemain fokus sehingga wisel penamat dibunyikan,” katanya pada sidang media kedua-dua pasukan, semalam.

Malaysia yang tampil buat kali pertama melakar sejarah mara ke suku akhir apabila menduduki tangga kedua Kumpulan C dengan mengumpul empat mata hasil kemenangan 1-0 ke atas naib juara 2013, Arab Saudi, seri 1-1 dengan Jordan dan tewas 1-4 kepada Iraq.

Kali terakhir skuad negara bertemu Korea Selatan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di Sukan Asia Incheon 2014 dengan pasukan tuan rumah itu menewaskan skuad kendalian Kim Swee 3-0.

“Kita tidak boleh membanding­kan keputusan empat tahun lalu kerana ketika itu Korea Selatan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri. Sudah tentu kali ini berbeza apabila kedua-dua pasukan beraksi di gelanggang neutral dan saya percaya kita mampu menyaingi mereka,” katanya.

Kim Swee akan mengadakan latihan terakhir hari ini dan memberitah­u masih perlu memantau kecederaan Dominic Tan, Syazwan Andik, Irfan Zakaria, Matthew Davies serta Syahmi Safari (demam) sebelum membuat keputusan sama ada mereka diturunkan atau tidak esok.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia