Harian Metro

Ada ramuan benam Malaysia

-

Kunshan, China: Penyerang sensasi Korea Selatan, Lee Keun Ho percaya mereka sudah mendapat rentak untuk menyekat Malaysia daripada melakukan satu lagi kejutan pada aksi suku akhir Kejohanan Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Kunshan, petang ini.

Katanya, kemenangan ke atas Australia 3-2 pada aksi terakhir Kumpulan D kelmarin, menyuntik keyakinan mereka untuk berdepan naib juara Kumpulan C itu.

“Semua pemain sangat fokus untuk perlawanan ini dan rentak permainan kami sangat baik, jadi sebab itu saya boleh menjaringk­an dua gol dan satu bantuan gol (menentang Australia),” katanya.

Korea Selatan hadir dengan rekod baik di kejohanan ini selepas muncul naib juara pada edisi terakhir 2016 apabila tewas 2-3 kepada Jepun pada final di Doha, Qatar.

Keun Ho, 21, mencuri tumpuan dengan meledak dua gol ketika menewaskan Australia 3-2 selepas turut mencipta gol kemenangan mengalahka­n Vietnam 2-1.

Dia yang kini menuntut di Universiti Yonsei cukup serasi menerajui bahagian serangan bersama Han Seung Gyu yang turut mencetak nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan dengan Australia. Menurut Keun Ho, mereka memiliki sedikit kelebihan kerana sudah biasa beraksi di Stadium Kunshan pada sepanjang kempen kumpulan berbanding Malaysia yang bermain di Changshu kecuali perlawanan menentang Arab Saudi di Kunshan.

“Kami sudah biasa dengan stadium dan padang latihan. Saya tak fikir ia perlawanan mudah menentang Malaysia tapi keyakinan kami semakin meningkat. Sasaran kami memenangi kejuaraan dan kami akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia