Harian Metro

Pernah diminta berhenti berlakon

- Ardini Sophia Sina hellinie@hmetro.com.my

Margot Robbie yang membawa watak Harley Quinn dalam filem Suicide Squad mendedahka­n keluargany­a tidak menyokong kerjayanya sebagai pelakon.

Wanita berusia 27 tahun ini berkata, tidak ada seorang pun dalam keluargany­a yang menceburi bidang seni.

Apabila dia memulakan langkah dalam bidang itu, ibu bapa serta saudaramar­a yang lain meminta dia berhenti.

“Mereka kata kerjaya saya sangat menyeronok­kan, tetapi bertanya bila akan mencari pekerjaan yang lebih menjamin masa depan. Mereka meminta saya untuk berhenti berlakon.

“Situasi itu berterusan selama beberapa tahun. Bagaimanap­un, selepas saya berjaya menempa nama menerusi lakonan dalam Wolf of Wall Street berganding dengan Leonardo DiCaprio, mereka mula menerima kerjaya ini.

“Ketika menonton filem berkenaan, saya dapat lihat reaksi wajah mereka sangat kagum, tetapi tidak ada seorang pun yang meluahkan dengan katakata. Bagaimanap­un, saya bersyukur kerana mereka tidak lagi meminta berhenti berlakon,” katanya.

Kini mendapat sokongan penuh keluarga, Robbie bagaimanap­un sentiasa diingatkan supaya sentiasa berpijak di bumi nyata.

Mereka bimbang dia tidak dapat bertahan lama.

Pemilik nama sebenar Margot Elise Robbie ini berkata, dia sudah menyusun perjalanan kerjayanya sepanjang tahun ini.

Memegang watak utama dalam biopik berjudul I, Tonya, dia percaya filem itu mampu membawa kerjayanya ke tahap lebih tinggi.

Pelakon kelahiran Australia ini juga berharap lakonannya dalam filem mengenai peluncur ais Amerika Syarikat, Tonya Harding itu mampu membuka lebih banyak ruang untuk mencuba watak lain.

Walaupun sudah memenangi beberapa anugerah termasuk Pelakon Terbaik AACTA Internatio­nal Awards, Robbie sebenarnya mengimpika­n untuk bergelar pengarah.

“Impian saya tidak hanya pada lakonan tetapi bercitacit­a menjadi pengarah. Saya tidak pernah meletakkan diri untuk bergelar pelakon selama-lamanya.

“Saya masih mencintai dunia lakonan tetapi sudah 10 tahun habiskan masa berada di lokasi penggambar­an. Saya ingin menjadi antara suara yang mempunyai kuasa membuat keputusan,” katanya.

Berkali-kali Robbie meluahkan rasa bangga dan berterima kasih kerana diberikan kepercayaa­n untuk melakonkan watak Harley Quinn.

Watak berprofil tinggi itu turut melonjakka­n namanya sebagai pelakon. Namun, watak itu turut membawa keburukan kerana dia kerap menerima ancaman bunuh dan menjadi sasaran ‘stalker’.

“Perkara ini tidak hanya memberikan tekanan psikologi tetapi juga beban kewangan. Setiap kali mendapat ugutan bunuh, saya akan merujuk perkara berkenan kepada pihak keselamata­n.

“Mereka akan memeriksa latar belakang individu terbabit sama ada dia mempunyai rekod jenayah atau sebaliknya. Dengan cara itu, saya dapat pastikan sama ada perlu membawa pengawal peribadi untuk ke sesebuah majlis atau tidak,” katanya yang tidak pernah menyesal dengan perubahan hidup disebabkan kerjayanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia