Harian Metro

MEDIA SOSIAL MEDAN DOSA

-

“Sesungguhn­ya seorang hamba berbicara dengan satu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Insya-Allah minggu depan saya pergi menunaikan umrah. Alhamdulil­lah, saya dijemput Allah SWT sekali lagi. Kali ini saya pergi dengan tajaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sempena Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita tahun lalu.

Permulaan yang baik untuk diri saya melangkah dalam tahun baru ini. Belum sampai sebulan tahun baru tapi sudah pelbagai berita yang kurang senang didengar dalam kalangan artis dan masalah masyarakat sekeliling.

Apabila saya buka media sosial, pelbagai kisah kurang enak timbul. Kadang-kadang macam malas hendak fikir mengenai apa yang berlaku tetapi saya rasa perlu lakukan sesuatu apabila membaca cara netizen memberikan pandangan kepada seseorang sama ada artis, pemimpin atau orang biasa seperti tiada adab dan perasaan malu.

Fungsi media sosial untuk mengeratka­n silaturahi­m dengan keluarga, kawan dan sebagainya tetapi kini ia seperti menjadi tempat melebarkan ruang menambah dosa tanpa rasa segan silu.

Daripada Abu Hurairah

RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Tiada rasa segan menceritak­an keaiban diri sendiri, keluarga, rakan dan orang yang tidak dikenali, lalu memberi ruang kepada orang lain memberi komen negatif terhadap diri kita dan tekan butang ‘share’ aib kita.

Memang benar, ada kala orang yang kita maki itu membuat kesalahan dan kesilapan. Namun, adab kita sebagai Muslim seharusnya dijaga. Hendak menegur kesalahan orang, jangan lupa kita sendiri melakukan banyak kesalahan.

Semua orang, tidak kira agama apatah lagi yang bergelar Muslim, perlu menjaga maruah kerana itulah harga diri kita.

Apabila berkongsi sesuatu perkara dalam alam maya, pastikan dahulu kesahihan dan kesannya pada masa hadapan.

Setiap orang ada maruah. Setiap maruah mempunyai harga yang tinggi, jika tiada maruah maka tiadalah harga.

Bagi yang bergelar artis (termasuk diri saya sendiri), setiap tingkah laku, katakata dan pemakaian sentiasa diperhatik­an masyarakat. Sebelum mahu bersuara, fikir dahulu kerana dikhuatiri membawa kesan mudarat terhadap diri sendiri atau orang lain.

Masyarakat akan berkata apa sahaja yang ingin diluahkan dan artis pula perlu tabah hadapi kutukan, kecaman, kritikan mahupun pujian. Itulah harga diri yang tidak boleh dijual beli.

Mempertaha­nkan diri dalam Islam adalah syahid. Biarpun miskin harga diri perlu dipelihara sebaiknya. Tiada guna jika kaya, banyak ilmu atau berjawatan tinggi sekiranya maruah tiada dan tidak dijaga. Apabila tiada maruah diri, ia seperti haiwan yang hidup berwajah manusia. Kalau bersifat haiwan, siapa lagi hendak menghormat­i kita.

Orang yang mempunyai maruah, malunya amat tinggi, akhlaknya sungguh mulia. Pada zaman serba canggih dan penuh dengan fitnah (ujian) kita perlu cermin diri sebelum bertindak. Apabila melihat orang lain buat salah, sebenarnya Allah SWT ingin memberi teguran kepada diri kita melalui mereka.

Jangan suka menjaja dan mengecam salah orang tetapi cari dan lihat hikmah di sebalik perkara yang berlaku. Menjaga maruah orang lain dan diri sendiri adalah ciri insan beriman.

Bersuara hanya apabila perlu, tiada perkara penting baik kita diam dan doakan yang baik-baik untuk semua orang.

Apabila kita doakan yang baik-baik untuk semua orang termasuk yang ada masalah, membenci kita dan mencari kebenaran, insyaAllah doa yang baik akan kembali kepada kita.

Senyum selalu,

Selalu bersangka baik Insya-Allah hati tenang

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia