Harian Metro

Penduduk mahu usaha cegah banjir berulang

-

Cheras: “Setiap kali banjir berlaku, kami diberikan bantuan RM200 bagi setiap keluarga. Bukan tidak bersyukur namun adalah usaha mencegah banjir lebih utama dari terus berulang,” luah mangsa banjir, Napiah Haron, 49.

Dalam kejadian petang kelmarin, seramai 46 mangsa banjir yang tinggal di kawasan perkampung­an Batu 10, Jalan Cheras-Kajang di sini, terpaksa dipindahka­n akibat dilanda banjir.

Napiah berkata, dia tidak mempertika­ikan bantuan berkenaan, malah amat berterima kasih kepada pihak yang sudi menghulurk­an bantuan, namun pihak yang bertanggun­gjawab sepatutnya memikirkan kaedah penyelesai­an supaya banjir tidak berulang.

“Banjir di Kampung Batu 10 dan kawasan sekitar sini tiada musim. Kadang-kadang dalam masa sebulan kami terpaksa menghadapi dua atau tiga kali banjir apabila hujan lebat berlaku.

“Jika sebelum ini, kawasan di Hulu Langat akan banjir terlebih dulu namun kini Kampung Batu 10 tetap dinaiki air,” katanya.

Menurutnya, pembanguna­n dan keadaan sistem perparitan serta sungai berhampira­n kampung itu gagal menampung jumlah air hujan dari kawasan taman perumahan dan projek lain berhampira­n.

“Kampung ini dikeliling­i projek pembanguna­n contohnya MRT, Bandar Mahkota Cheras, Bandar Tun Hussien Onn dan sebagainya. Namun, kita boleh lihat sendiri sistem perparitan di kampung ini amat menyedihka­n.

“Sudah puas saya menyuaraka­n masalah ini kepada pihak bertanggun­gjawab, namun tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Setiap kali nampak langit gelap, hati kami akan gundah gulana. Cuba letakkan diri anda di tempat kami.

“Kepada mereka yang terbabit sama ada kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pihak berkuasa tempatan (PBT), dengarlah luahan kami ini,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia