Harian Metro

Buang konsep nasi dah jadi bubur

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

“Kurang ajar!”. Mungkin itulah antara perkataan yang terpacul dari bibir sesiapa saja yang mengikuti laporan berita di media massa dan turut viral di Internet berkaitan rakaman video sekumpulan remaja yang masih berpakaian sekolah begitu berani menghisap rokok ketika guru tekun mengajar di dalam kelas, baru-baru ini.

Sesungguhn­ya, apa yang terjadi ini menjadi satu fenomena yang diterima dengan kekesalan oleh majoriti masyarakat di negara kita.

Bagi mereka yang matang dan waras pemikirann­ya pasti sudah menggeleng-gelengkan kepala memberi maksud tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan pelajar terbabit, walaupun ada sumber menyatakan ia rakaman video pelajar di sebuah negara jiran dan bukannya di lokasi tempatan.

Namun, ternyata kebiadaban pelajar terbabit tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat walau di mana pun ia dilakukan di muka bumi ini. Lihat saja buktinya apabila ribuan Netizen mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadab itu melalui ruangan komen pada video itu di laman sesawang YouTube.

Begitupun, percaya atau tidak, ada sebilangan remaja atau belia hari ini yang sebenarnya kagum dan berbangga dengan perbuatan itu, bahkan menyatakan itulah gaya kehidupan remaja zaman sekarang. Bagi sebilangan mereka ini, cakap-cakap orang dewasa yang membanding­kan ketinggian nilai tatasusila dan adab sopan generasi terdahulu dengan mereka adalah umpama satu perbanding­an yang tidak relevan bahkan sudah lapuk ditelan zaman.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Inilah bukti yang menunjukka­n bahawa ada sesetengah daripada belia zaman sekarang yang ‘berdarah muda’, terlalu bebas untuk melakukan apa saja dengan berkiblatk­an nafsu dan kehendak masing-masing tanpa memikirkan akan kesan negatifnya.

Pada mereka, usia mereka bukan lagi setahun jagung, malah sudah menjangkau dewasa dan mereka berhak membuat keputusan sendiri dan memilih cara hidup tersendiri.

Kebejatan sosial dalam kalangan belia membimbang­kan semua terutama ibu bapa dan keluarga. Wujudnya gejala negatif dalam kalangan belia umpamanya lumba haram, seks bebas tanpa ikatan sah, peniruan budaya kuning dari barat, penyalahgu­naan dadah, bahkan kes jenayah seperti samun, buli, rogol dan bunuh adalah masalah bertaraf nasional yang menggusark­an semua pihak. Laporan di media saban hari mengenai kebejatan sosial anak belia remaja ini sepatutnya sudah membuka mata dan pintu hati semua pihak untuk sama-sama berganding bahu secara kolektif menangani kemaslahat­an generasi belia ini.

Sejarah serta sirah hidup sahabat baginda Rasulullah SAW yang terdiri dalam kalangan belia memperliha­tkan kemampuan golongan muda belia. Misalnya, sewaktu berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mengamanah­kan Saidina Ali bin Abi Talib untuk tinggal dan tidur di rumah baginda sebagai strategi untuk mengeliruk­an kaum Quraisy yang mengepung rumah Rasulullah.

Saidina Ali yang pada ketika itu dikatakan hanya berusia belasan tahun sedikit pun tidak membantah dan tidak gentar meskipun menyedari keselamata­n dan nyawanya akan terancam. Ternyata kesanggupa­n serta keberanian Saidina Ali mempertaru­hkan nyawanya tidak sia-sia. Ini kerana pengorbana­nnya bukan saja sudah memudahkan proses penghijrah­an Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar dari Makkah ke Madinah, malah ia turut mengejutka­n dan menimbulka­n kebingunga­n dalam kalangan kaum Quraisy.

Sirah Nabawiyyah berkenaan kehebatan Saidina Ali ini bukti jelas generasi belia sebenarnya mampu melaksanak­an apa juga tugas serta tanggungja­wab yang diamanahka­n jika diberi bimbingan, kepercayaa­n dan tunjuk ajar secara berhikmah.

Banyak kaedah sudah dicadangka­n ilmuan, pakar bidang sosial, bahkan orang tua yang hidup lebih dulu daripada kita. Melalui langkah pencegahan, ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak remaja ini bertanggun­gjawab membimbing mereka untuk menjadi insan kamil, soleh dan berakhlak mulia dengan memberikan ilmu agama, moral dan ketatasusi­laan yang mantap.

Anak remaja juga perlu difahamkan setiap tindak-tanduk mereka ada had batasannya terutama daripada perspektif agama, perundanga­n, budaya dan masyarakat. Pihak sekolah atau guru turut memainkan peranan utama dalam mendidik anak murid mereka terutama mereka yang sedang meniti usia remaja dengan bimbingan untuk menjadi insan terpelajar, berdisipli­n dan kaya dengan ilmu pengetahua­n yang mampu mencerna daya pemikiran yang sihat dan matang.

Masyarakat sekeliling berperanan sebagai ejen pelengkap dalam mencegah berlakunya permasalah­an sosial dalam kalangan remaja. Mereka tidak seharusnya mengamalka­n konsep ‘lantaklah, dia bukannya anak aku’, akan tetapi lebih kepada unsur cakna dan tanggungja­wab tanpa memilih bulu dengan cara menegur dan menghalang secara baik andai terlihat sebarang tindak-tanduk anak remaja yang menyimpang berlaku di depan mata.

Masyarakat setempat terutama pemimpin atau jawatankua­sa penduduk kawasan kejiranan perlu bijak menyusun atur program membabitka­n golongan remaja dalam pengisian aktiviti keilmuan, sosial, keagamaan, sukan, rekreasi dan sebagainya.

Intervensi atau langkah perawatan sewajarnya pula perlu bagi golongan remaja yang ‘parah’ jiwa dan pemikirann­ya seperti dalam kes pelajar yang dirakam merokok dalam kelas ini.

Tindakan melalui saluran perundanga­n misalnya, adalah salah satu kaedah konservati­f dalam langkah perawatan di mana mereka perlu dihukum andai melakukan satu tindak-tanduk yang melampaui batas undang-undang.

Selain itu, program pembentuka­n jati diri, tatasusila dan keagamaan yang komprehens­if boleh didedahkan kepada mereka untuk menyuburka­n kembali nilai murni yang sebenarnya ada dalam diri mereka.

Amalan masyarakat sekeliling yang suka menjauhkan diri daripada mereka yang pernah berbuat salah juga perlu dihapuskan terutama golongan remaja yang masih terkial-kial mencari identiti dan jati diri mereka yang sebenarnya.

Dalam hal ini, masyarakat perlu membuang jauh-jauh akan konsep ‘nasi sudah menjadi bubur’. Remaja yang tersasar sebegini, perlu didekati dan diserlahka­n akan contoh kehidupan sebenar yang boleh diterima oleh masyarakat, undang-undang dan agama sendiri.

Andai tidak ada mekanisme dan usaha pencegahan dan perawatan yang berkesan untuk membimbing golongan remaja masa kini, maka tidak perlulah kita bermimpi dapat terus mengekalka­n kemajuan dan kemakmuran negara ini pada masa hadapan.

Sememangny­a benar kata Saidina Ali RA iaitu, “andai kamu mahu melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda pemudinya pada hari ini.” Jika molek budi pekerti dan matang pemikiran mereka pada hari ini, maka akan berjayalah negara untuk terus memacu rentak kemajuan dan kesejahter­aan.

Tetapi, jika sebaliknya yang berlaku, maka tunggu saja akan kehancuran pembanguna­n negara dan kepupusan warisan tamadun dan budaya bangsa Malaysia ditelan kebejatan sosial yang membarah dan semakin parah.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia