Harian Metro

82 kaki suap ditahan

 SPRM Selangor cekup 30 kakitangan kerajaan terbabit rasuah

- Siraj Mohd Zaini siraj@hmetro.com.my

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan 82 individu atas dakwaan terbabit dalam kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewen­gan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Perisikan SPRM Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, jumlah tangkapan berkenaan meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding hanya 79 individu pada tahun sebelumnya.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah SPRM Selangor berkata, sejumlah 449 maklumat diterima daripada pelbagai sumber mengenai kegiatan rasuah sepanjang tahun lalu dan jumlah itu turut meningkat sebanyak 38 peratus berbanding 315 maklumat pada 2016.

“Kakitangan kerajaan merekodkan jumlah tertinggi yang ditangkap untuk tempoh dua tahun itu iaitu seramai 38 orang pada 2016 dan 30 orang pada tahun lalu diikuti pekerja swasta dan orang awam.

“Daripada jumlah maklumat diterima pada tahun lalu, sebanyak 198 kertas siasatan dibuka berbanding 157 kertas siasatan pada 2016,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Selangor yang baru di Bangunan SPRM Selangor, di sini, semalam.

Menurutnya, seramai 17 individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah sudah didakwa di mahkamah pada tahun lalu berbanding hanya 12 orang pada tahun sebelumnya.

“Tahun lalu adalah tahun cemerlang bagi SPRM Selangor dan diharapkan kesinambun­gan ini dapat diteruskan pada tahun ini supaya SPRM kekal sebagai agensi penguat kuasa yang relevan bagi membantera­s rasuah.

“Hasil usaha berterusan menerusi program gerak gempur dan usaha berterusan membolehka­n pesalah rasuah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan supaya menjadi iktibar kepada masyarakat untuk menjauhi kegiatan rasuah,” katanya.

 ??  ?? WAN Ramli (kanan) menyerah nota serah tugas kepada Alias sambil disaksikan Simi sempena majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Selagor di Bangunan SPRM Selangor, semalam.
WAN Ramli (kanan) menyerah nota serah tugas kepada Alias sambil disaksikan Simi sempena majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Selagor di Bangunan SPRM Selangor, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia