Harian Metro

Lelaki Sepanyol bawa bom di Basilan

-

Manila: Tentera di Selatan Filipina menahan seorang lelaki Sepanyol yang membawa bom tangan dan peralatan membuat letupan yang disyaki menyokong kumpulan militan Abu Sayyaf, kata pihak berkuasa semalam.

Abdelhakim Labidi Adib, 20, yang mendakwa dirinya pelancong, ditahan Isnin lalu di pos kawalan tentera di Basilan, kubu kuat kumpulan militan berkenaan.

Menurut tentera, Abdelhakim, warga Sepanyol berketurun­an Tunisia, berada bersama seorang lelaki tempatan disyaki anggota Abu Sayyaf, yang sempat melarikan diri.

Pegawai Pemerintah Pasukan Khas di Basilan, Kapten Exequel Panti berkata dalam kenyataan bersumpah: “Abdelhakim menyokong Abu Sayyaf dan mahukan penubuhan pemerintah­an khalifah di negara ini.

“Ketika ditahan, dia mencampakk­an beg dibawanya mengandung­i bahan letupan, manakala rakannya terjun dari cenuram.”

Dia menemui media selepas membawa suspek ke kementeria­n keadilan di Manila, semalam.

Basilan sudah lama menjadi kubu kuat Abu Sayyaf, yang diasaskan pada 1990-an dengan bantuan pengasas al-Qaeda, Osama Laden.

Militan setia kepada Daish termasuk Abu Sayyaf tahun lalu menyerang bandar Marawi di selatan Filipina dalam apa dikatakan pihak berkuasa kempen mewujudkan pemerintah­an khalifah di Asia Tenggara untuk kumpulan pengganas itu.

Pertempura­n di Marawi berterusan lima bulan menyebabka­n kematian lebih 1,100 orang, selain memusnahka­n sebahagian besar bandar berkenaan.

Abdelhakim tiba di Filipina pada Oktober tahun lalu, dalam pada pertempura­n berakhir di Marawi.

Abdelhakim menafikan semua dakwaan terhadapny­a, sebaliknya menegaskan dia sekadar bercuti di Filipina dan baru keluar dari hutan di Basilan ketika ditahan.

Dia bagaimanap­un enggan menjawab soalan mengenai tujuannya berada di pulau itu yang dielak pelancong kerana bimbang ancaman culik. - AFP

 ??  ?? ABDELHAKIM (tengah) diiring
tentera ke sidang media di Jabatan Keadilan di Manila. - EPA
ABDELHAKIM (tengah) diiring tentera ke sidang media di Jabatan Keadilan di Manila. - EPA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia