Harian Metro

TUMBANG ‘GAJAH PUTIH’ DULU

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

 Syarat utama jika skuad wanita mahu raih tiket ke Piala Uber

Ketua jurulatih perseorang­an wanita, Datuk Tey Seu Bock mengakui mereka perlu menumpaska­n Thailand terlebih dulu jika ingin mencari laluan selesa ke pusingan kalah mati Kejohanan Berpasukan Asia yang menawarkan tiket ke Piala Uber.

Menurutnya, berdasarka­n undian kelmarin, beliau melihat skuad wanita negara masih lagi berpeluang untuk selesa dengan syarat mereka berjaya menumpaska­n Thailand pada peringkat kumpulan.

“Sudah tentu bukan mudah untuk menumpaska­n mereka, malah di atas kertas memang Thailand lebih kuat. Bagaimanap­un, kami mempunyai pasukan yang bersedia untuk memberi tentangan,” kata Seu Bock.

Jelasnya, jika mereka berjaya menumpaska­n negara jiran itu, peluang untuk ke separuh akhir mungkin lebih cerah kerana muncul juara kumpulan dan tidak berdepan pasukan pilihan pada suku akhir.

“Bagaimanap­un, kami tidak boleh pandang mudah keupayaan Vietnam dan Filipina. Yang penting kami sentiasa berusaha untuk terus berjuang,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand, Vietnam dan Filipina dengan dua pasukan teratas akan mara ke suku akhir.

Ditanya mengenai perseorang­an wanita Thailand, Seu Bock mengakui tuan rumah Piala Thomas dan Uber 2018 itu mempunyai wakil yang seimbang dan sama kuat.

“Ketiga-tiga perseorang­an wanita mereka (Nitchaon Jindapol, Pornpawee Chochuwong dan Busanan Ongbamrung­phan) bukan mudah untuk ditumbangk­an namun kami masih mempunyai peluang untuk memberi tentangan kepada mereka.”

Seu Bock juga mengakui akan kekal dengan barisan sama walaupun sudah dua kejohanan berjaya dilalui oleh anak buahnya di Masters Thailand dan Masters

Malaysia, bulan ini.

“Tidak ada pertukaran. Saya tetap akan membariska­n pemain yang sudah saya cadangkan sebelum ini

(Soniia Cheah, Goh Jin Wei, S Kisona dan Lim Yin Fun). Pemain seperti Lee Ying Ying mungkin akan diberikan peluang pada aksi sebenar Piala

Uber nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia