Harian Metro

Sindiket dijaga kumpulan tertentu

-

Baleh: Membalak secara haram di kawasan dibenarkan. Itu ketamakan sindiket pembalakan yang mencuri hasil hutan daripada kawasan yang dilesenkan kepada syarikat tertentu tanpa perlu membayar sesen pun premium kepada kerajaan negeri.

Tindakan biadab itu bukan saja menyebabka­n kerajaan negeri kerugian jutaan ringgit malah syarikat diberikan plot kawasan membalak turut menghadapi kerugian sama.

Pengurus sebuah kem balak di Nanga Serangkang Ting Aie Ung, 49, berkata, kerakusan sindiket balak membalak di kawasan diberikan kepada syarikatny­a dikesan berlaku sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, sindiket balak haram dijaga kumpulan tertentu itu dikesan mula membalak di kawasan yang berhampira­n dengan Sungai Batang Baleh yang memudahkan kayu diangkut menggunaka­n tongkang atau dihanyutka­n mengikut arus.

“Sindiket haram menebang pokok balak tanpa mengira spesies dan saiz kerana apa yang penting kepada mereka adalah mendapatka­n hasil dengan cepat tanpa membayar premium kepada kerajaan negeri seperti dilakukan majikan saya.

“Saya sendiri mengesan aktiviti haram itu dilakukan tanpa mengira masa, ada kalanya sindiket menebang balak pada waktu malam bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa, malah pekerja syarikat yang tinggal di kem balak berhampira­n,” katanya ketika ditemui di Nanga Selawan kawasan di Hulu Baleh di sini, baru-baru ini.

Ting berkata, sejak sindiket haram ‘menceroboh’ kawasan pembalakan­nya, majikannya dianggarka­n mengalami kerugian mencecah RM4 juta kerana balak bernilai tinggi turut dicuri.

“Sindiket tidak perlu membayar premium kepada kerajaan negeri seperti syarikat berdaftar yang dibenarkan membalak. Balak pula dieksport khususnya ke India dan beberapa negara Asia lain dengan keuntungan RM780 untuk satu meter kubik contohnya bagi kayu Meranti.

“Antara balak yang menjadi pilihan utama pembalak haram adalah kayu jenis Meranti, Selanga Batu, Kapuh dan Keruing kerana nilai eksportnya dan permintaan tinggi diterima,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia