Harian Metro

Orang ramai berpeluang bayar kompaun RM10

-

Kota Kinabalu: Orang ramai berpeluang membayar kompaun kesalahan parkir dan berkaitan kupon letak kereta dikeluarka­n oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada harga RM10 bagi setiap kompaun.

Ia ditawarkan pada satu hari sempena sambutan Hari Bandaraya Kota Kinabalu Ke-18 pada 2 Februari depan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Ir Edward Yong Oui Fah berkata, program itu bertujuan memberi orang ramai peluang untuk melunaskan tunggakan kompaun.

“Orang ramai boleh membuat pembayaran di kaunter pembayaran di tingkat bawah Bangunan DBKK. Ia akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 9.30 malam pada hari berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mengulas lanjut, Edward berkata, program itu diadakan selepas pihaknya berbincang dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai sebelum cadangan itu diluluskan oleh Lembaga Penasihat DBKK.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menganjurk­an pelbagai acara sempena Hari Bandaraya Kota Kinabalu Ke-18, pada hari sama.

Katanya, ia termasuk Upacara Menaikkan Bendera di Padang Merdeka di sini, pada jam 2 petang dan ia diikuti dengan perarakan

dari padang berkenaan ke Bangunan DBKK.

Selain itu, gerai jualan makanan dan pelbagai barangan turut dibuka di pekarangan Bangunan DBKK.

“Pada sebelah malam, konsert mini menampilka­n artis tempatan akan diadakan di parkir Bangunan DBKK bermula jam 7 malam,” katanya.

Orang ramai boleh membuat semakan kompaun secara dalam talian menerusi http://ecompaund.dbkk.sabah.gov.my atau www.dbkk.sabah.gov.my.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia