Harian Metro

Bantu komersial lagu Nor

-

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bersedia membantu Nor, banduan rakyat Malaysia yang dipenjarak­an di Pusat Koreksiona­l Tahanan Wanita, Chatuchak, Bangkok untuk mengkomers­ialkan lagi atau lirik ciptaan wanita itu seperti mana dihajatkan­nya.

Presidenny­a Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata, pihaknya tiada masalah untuk mengetenga­hkan hasil seni ciptaan Nor walaupun dia berada di penjara kerana mengambil kira konsep seni itu sendiri luas dan tanpa sempadan.

Katanya, SENIMAN berhubung dengan komposer dalam industri selepas ini untuk meneliti 39 lirik dihasilkan Nor untuk dijadikan lagu, namun ia bergantung kepada konteks lirik itu sama ada sesuai atau tidak.

“Kami tidak ada masalah bantu. Seni ini bukan hak siapa-siapa. Kami kena tengok dulu, mungkin komposer lebih tahu siapa penyanyi sesuai.

“SENIMAN juga bersedia jika ada ahli keluarga ingin berjumpa untuk berbincang.

“Apapun, kami perlu tengok dulu lirik itu dan kesesuaian­nya.

“Mungkin bahasa digunakan atau macam mana, kami akan tengok nanti. Saya rasa ramai dalam industri ingin membantu.

“Lirik sudah ada, hanya lagu serta penyanyi sesuai. Saya rasa tidak ada masalah,” katanya.

Beliau mengulas mengenai keinginan Nor, 52, untuk memberikan lirik yang dihasilkan­nya di dalam penjara itu kepada mana-mana pihak yang sudi dengan harapan dirinya tidak dilupakan biarpun dipenjara di negara orang.

Hasrat itu dinyatakan kepada wartawan Harian Metro yang mengikuti Program Jejak Tirai Besi Islamic Aid Malaysia (IAM) di Bangkok, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia