Harian Metro

Pisah demi kebaikan 7 beradik

-

Alor Setar: Kanak-kanak 10 tahun dan enam beradiknya yang lain perlu dipisahkan untuk mengelakka­n mereka terus terjebak dengan dadah serta gejala sosial yang lain termasuk sumbang mahram dan kecurian di kawasan kampung berkenaan.

Itu ulasan pensyarah Program Psikologi dan Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Noor Azniza Ishak berkaitan isu tujuh beradik didapati positif dadah jenis syabu pada pemeriksaa­n oleh pihak berkuasa di rumah mereka di Desa Keda, Kampung Bukit Pokok Sena.

Dr Noor Azniza berkata, beliau mencadangk­an supaya pihak berkaitan memisahkan adik-beradik berkenaan untuk kebaikan mereka.

Beliau berkata, mereka perlu diletakkan di pusat pemulihan atau diberi perhatian sepenuhnya bagi mengelak terjebak dalam gejala lebih buruk.

“Melalui penilaian yang saya buat, adik-beradik berkenaan yang berusia 10 hingga 30 tahun itu mungkin kurang kasih sayang selepas kematian ibu bapa.

“Memburukka­n keadaan, kanak-kanak berusia 10 tahun yang berlainan ibu berkenaan turut tidak merasai belaian kasih sayang keluarga.

“Disebabkan itu dia tidak berminat untuk belajar selain mahu mencuba dadah kerana tinggal bersama kakak dan abangnya yang menagih dadah,” katanya.

Menurut beliau, dalam kes ini, beliau beranggapa­n fikir kanak-kanak dan abangnya yang masih remaja berusia 16 dan 17 tahun serta dua kakaknya itu mungkin masih baru mencuba dadah manakala dua lagi abangnya termasuk seorang yang masih direman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta abang kedua yang juga pengawal keselamata­n adalah penagih.

“Kalau kita tak lakukan dari sekarang, mungkin mereka akan mencari benda lain, kalau tak dapat syabu, mungkin mereka akan mencari dadah lain kerana ketagih,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia