Harian Metro

‘SERBU’ ASKAR

- Zaid Salim am@hmetro.com.my

Cermin mata, lambakan durian percuma tarikan Karnival Tentera Bersama Rakyat

Cermin mata dan lambakan durian percuma menjadi tarikan orang ramai mengunjung­i Karnival Tentera Bersama Rakyat di padang bola Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir di sini, semalam.

Selain itu, turut menjadi tarikan karnival julung kali itu ialah jualan barangan keperluan harian seperti sayuran, ikan dan ayam yang lebih murah berbanding pasaran.

Sebanyak 4,000 unit cermin mata disediakan untuk golongan yang rabun jauh menjadikan gerai berkenaan dibanjiri orang ramai seawal jam 8 pagi.

Pengunjung yang ditemui gembira dan memuji penganjura­n karnival berkenaan yang memberi manfaat kepada pelbagai peringkat golongan.

Abdul Rahman Embong, 67, dari Kampung Teluk Ketapang di sini, berkata, karnival berkenaan bukan saja membantu meringanka­n kos sara hidup, tetapi dalam masa sama mendekatka­n masyarakat setempat dengan anggota tentera.

“Bagi saya, karnival ini sangat sesuai kerana ia boleh membuka minda penduduk kampung mengenai fungsi tentera kepada negara, manakala generasi baru pula berpeluang mengetahui dan mengenali peralatan dan senjata yang digunakan tentera dengan lebih dekat.

“Secara tidak langsung menerusi pameran ini, ia menanam minat kepada generasi baru untuk menjadi tentera dan dalam masa sama menyemai semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya pada program berkenaan.

Katanya, pelbagai aktiviti disediakan seperti sukaneka dan futsal padang kepada kanak-kanak dan remaja yang secara tidak langsung memberi manfaat dalam institusi kekeluarga­an.

Halimah Abdul Kadir, 53, dari Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu berkata, dia bersama suami dan anak tiba di karnival seawal jam 8 pagi bagi membeli ikan dan ayam.

“Ayam dijual pada harga RM10 seekor, ikan kembung dan selayang pula RM6 sekilogram manakala ikan aya dijual pada harga RM2 hingga RM4 seekor bergantung pada saiz,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Alif Hakimi Azman, 27, dari Kampung Gong Badak, berkata, dia memuji penganjura­n karnival berkenaan yang disifatkan­nya sangat tepat dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

“Selain jualan murah, pemberian cermin mata percuma sebanyak 4,000 unit secara tidak langsung meringanka­n beban khususnya warga emas yang tidak berkemampu­an,” katanya.

Program sehari dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir, Panglima Briged Ke-8 Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Datuk Nazari Ab Hadi, Pegawai Daerah Kuala Nerus Datuk Tengku Faraok Husin Tengku Abd Jalil dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA) Leftenan Kolonel Din Izuan Mahar Afandi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia