Harian Metro

Janji bantu pulihkan, majukan Proton

-

Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpin­annya akan terus membantu memulihkan dan memajukan Proton bagi memastikan syarikat pengeluar kereta nasional itu menempa nama di persada dunia.

Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan dalam perkara itu sangat jelas dalam memastikan Proton dan Tanjung Malim yang menempatka­n Proton City menempa zaman yang lebih cemerlang dan gemilang.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengkaji sejarah Proton tanpa perasaan dan emosi yang sempit dan menyedari bahawa masalah yang menimpa syarikat itu disebabkan model ekonomi yang berpaksika­n kepada semangat nasionalis­me, bukan global.

“Terlalu banyak campur tangan politik dalam pentadbira­n Proton, kita tidak akan membiarkan Proton tenggelam, tidak akan membiarkan Proton lenyap. Proton memerlukan sokongan kerajaan untuk dipulihkan dan kerajaan pimpinan saya dan BN akan memulihkan semula Proton.

“Sebab itulah, kalau ada orang kata kita tak tolong Proton, itu adalah dusta, kita bagi pinjaman, kita bagi suntikan modal, kita bagi insentif dan kita syaratkan bahawa kalau Proton hendak maju, kena ada rakan strategik, kita tidak kira siapa, kita tak arah Proton pilih dari mana-mana negara atau syarikat, kita cuma kata ia akan diputuskan Proton dan DRB-HICOM yang kemudian memilih Geely, syarikat dengan kewangan kukuh, pasaran luas, rekod pencapaian dan teknologi tinggi.

“Geely adalah rakan strategik paling sesuai untuk Proton, saya yakin keputusan itu tepat jika dilihat pertumbuha­n syarikat yang mengeluark­an 1.5 juta kenderaan setahun selain memiliki teknologi tinggi dan sanggup memindahka­n teknologi kepada jurutera dan pekerja Proton,” katanya pada majlis pelancaran Kluster Automotif Nasional di Kompleks Sukan Proton, Proton City di sini, semalam.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr

Zambry Abdul Kadir dan Pengarah Urusan

Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia