Harian Metro

ADA HARAPAN...

- Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my

 Chun Yong optimis anak buahnya masih berpeluang ke suku

akhir walaupun tewas kepada Taiwan

Jurulatih kebangsaan, Chew Chun Yong menganggap peluang anak buahnya masih terbuka untuk ke suku akhir meskipun kebangkita­n mereka pada saat akhir tidak menjadi apabila tewas 4-5 kepada tuan rumah, Taiwan pada perlawanan kedua Kumpulan A, Kejuaraan Futsal AFC, semalam.

Malaysia yang kini mengumpul tiga mata selepas menundukka­n Vietnam 2-1 pada perlawanan pertama kelmarin akan membuat perhitunga­n terakhir dengan Bahrain Isnin ini untuk mengintai peluang melakar sejarah layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

“Kami hanya kalah tipis, saya akui pemain tak bermain seperti yang diharapkan. Taiwan lebih berdisipli­n ketika bertahan dan tiga gol yang mereka hasilkan adalah menerusi serangan pantas.

“Ini kelemahan yang perlu kami diperbaiki sebelum bertemu Bahrain dan dengan keputusan ini saingan dalam kumpulan ini masih terbuka,” katanya.

Aksi buruk dipamerkan pemain negara pada babak pertama apabila mereka ketinggala­n dua gol menerusi jaringan Lai Ming-Hui dan Lin Chih-Hung.

Sememangny­a tuan rumah yang seri 2-2 dengan Bahrain pada aksi pertama berhak untuk mendahului permainan selepas lebih banyak mengasak kubu Malaysia dengan corak serangan pantas.

Gawang negara dibolosi pada minit ke-8 selepas bola rembatan Lin Chen-Hsun yang terkena tiang pantas disambar Ming-Hui untuk menewaskan penjaga gol, Azrul Hadee Taufiq sebelum Chih-Hung menambah gol kedua di minit ke-13.

Belumpun sempat anak buah Chun Yong mengatur rentak pada separuh masa kedua, mereka dikejutkan dengan jaringan Chi Sheng-Fa, seminit selepas permainan bermula untuk Taiwan selesa mendahului 3-0.

Harapan kembali menjelma apabila Azwan Ismail menghasilk­an gol pertama pada minit ke-27 meskipun Taiwan kembali menjarakka­n kedudukan menerusi Ming-Hui, empat minit kemudian.

Malaysia yang terdesak memburu gol mengeluark­an Hadee untuk bermain sistem ‘powerplay’ dan berjaya meledak tiga gol hasil percubaan Awalluddin Mat Nawi minit ke-33 dan 36 serta Khairul Effendy Bahrin minit ke-38 bagi mengikat kedudukan 4-4.

Namun kebangkita­n itu tidak bermakna apabila rembatan padu Chih-Hung memberikan gol kemenangan buat skuad kendalian Jose Amarante itu sekali gus membuka kembali peluang ke suku akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia