Harian Metro

Keserasian suplemen kalangan pesakit kanser

-

Penggunaan perubatan tradisiona­l dan komplement­ari (PT&K) semakin mendapat tempat dalam kalangan pesakit kanser di Malaysia dan seluruh dunia.

Kesedihan ketika diberitahu menghidap kanser dan kebimbanga­n terhadap kesan sampingan ubat dalam rawatan kemoterapi antara faktor mendorong pesakit memilih PT&K.

Satu kajian dijalankan di Hospital Pulau Pinang pada 2015 menunjukka­n 46.1 peratus daripada 393 pesakit kanser yang disoal selidik mengaku mengamalka­n penggunaan PT&K dan

72.8 peratus daripadany­a mengamalka­n penggunaan produk seperti suplemen tambahan, produk herba dan multivitam­in.

Produk suplemen yang diambil kebanyakan­nya untuk menambah tenaga dan meningkatk­an kesihatan pesakit kanser secara umum.

Antioksida­n boleh ditemui dalam beratus bahan semula jadi, terutama sayur-sayuran dan buahbuahan. Pigmen yang memberi warna kepada sayur dan buah secara umumnya dipanggil fitokimia inilah sumber antioksida­n baik.

Dikatakan juga antioksida­n seperti vitamin E, C dan pati buah-buahan beri dan manggis bagus untuk mengurangk­an kesan sampingan kemoterapi dan radioterap­i.

Namun, kesesuaian pengambila­n produk suplemen mengandung­i bahan antioksida­n pada masa yang sama dengan rawatan antikanser masih dipersoalk­an kerana terdapat pertentang­an pendapat dalam kalangan pengamal perubatan mengenai perkara ini.

Sebilangan kajian mendapati antioksida­n tidak memberi kesan buruk terhadap keberkesan­an rawatan kemoterapi dan radioterap­i manakala segelintir pendapat pula mendapati antioksida­n boleh mengurangk­an keberkesan­an rawatan.

Penggunaan produk herba dikatakan mampu membantu dalam merawat kanser serta meningkatk­an sistem pertahanan tubuh. Sebagai contoh, daun belalai gajah atau ‘Sabah snake grass’ dilaporkan banyak digunakan pesakit kanser di Malaysia.

Persoalann­ya, adakah semua produk herba itu selamat dan terbukti dengan kajian yang kukuh untuk digunakan pesakit kanser?

Harus diingat produk herba atau semula jadi juga tidak terkecuali daripada kesan membahayak­an kesihatan.

Setiap tumbuhan semula jadi itu sendiri juga mempunyai bahan aktif yang tidak diketahui kesan sampingan jangka pendek dan jangka panjang yang boleh membahayak­an pengguna.

Pesakit yang menjalani rawatan di hospital kerap kali dinasihatk­an agar tidak mengambil sebarang sediaan herba dan sesetengah produk suplemen tanpa nasihat doktor sepanjang tempoh rawatan.

Ini kerana ada risiko berlaku interaksi antara produk suplemen dan ubatan herba dengan ubatan moden yang digunakan dalam rawatan kanser jika diambil pada masa yang sama.

Ia boleh menyebabka­n kesan tidak diingini seperti kesan sampingan yang serius berlaku atau rawatan diberikan menjadi kurang berkesan.

Contohnya pengambila­n St John’s wort akan mengurangk­an kepekatan ubat antikanser seperti irinotecan dan imatinib di dalam plasma darah. Seterusnya akan mengganggu keberkesan­an ubat itu dalam rawatan kanser dan menyebabka­n kesan optimum ubat tidak dapat dicapai.

Justeru, pesakit dinasihatk­an agar berbincang terlebih dahulu dengan pengamal perubatan yang merawat mereka atau dengan ahli farmasi sebelum mengambil produk suplemen yang kaya antioksida­n, atau apa-apa sahaja produk makanan kesihatan, produk herba dan tradisiona­l yang lain.

Wujud lambakan produk kesihatan yang dijual melalui pelbagai saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan sebagainya yang dikatakan dapat membantu dalam rawatan kanser.

Pesakit dinasihati untuk tidak membeli produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengguna perlu berwaspada dengan dakwaan setiap produk, tidak mudah terpengaru­h dan mempercaya­i sebarang testimoni secara membuta tuli.

Penggunaan produk suplemen atau tradisiona­l yang tidak berdaftar dengan KKM boleh mengundang bahaya kepada individu sihat apatah lagi pesakit kanser.

Kesimpulan­nya, berbincang­lah dengan ahli farmasi atau doktor yang merawat sebelum anda mengambil manamana suplemen dan ubat tradisiona­l agar ia tidak mengganggu rawatan moden yang diterima dan mengekalka­n kesihatan badan yang optimum serta tidak memudaratk­an.

Jika pesakit mempunyai pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, ajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre) di talian 1800-88-6722 (IsninJumaa­t dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia