Harian Metro

Mati dibelasah suami

-

Sandakan: Seorang wanita mati dipercayai dibelasah oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Sandakan, Batu 10, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8 malam itu, wanita warga Indonesia berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent sini, selepas parah akibat pelbagai kecederaan dipercayai ditendang dan dihempas ke lantai.

Difahamkan, mangsa ditinggalk­an suami dan anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke hospital oleh jirannya.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pihaknya dimaklumka­n berhubung kejadian itu oleh pihak hospital.

Berikutan itu katanya, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian suspek yang juga suami mangsa iaitu lelaki warga Indonesia berumur 40 tahun bertengkar dengan anak sulungnya.

“Mangsa cuba meleraikan pergaduhan antara suami dan anaknya, namun suspek dilaporkan berang lalu menendang, menolak serta menghempas mangsa ke lantai rumah.

“Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri. Sejurus itu, suami dan anaknya melarikan diri dan mangsa dibawa ke hospital oleh jirannya sebelum disahkan meninggal dunia jam 9.20 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, suspek ditahan jam 6.30 pagi tadi di sebuah rumah dalam ladang sawit di Batu 12.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia