Harian Metro

Kesan wanita edar kopi

- Hadzlihady Hassan dan Rudy Syareme Sheriffudi­n news@nstp.com.my

 Polis teliti rakaman CCTV kenal pasti identiti suspek

Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti wanita yang disyaki mengedarka­n kopi pracampura­n yang mengandung­i dadah secara percuma sekitar Jelutong, Selasa lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata, pihaknya masih berusaha mengesan wanita berusia 40-an itu bagi mengetahui bagaimana dia mendapat bekalan kopi itu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mendapatka­n pengesahan sama ada kopi campuran itu benar-benar dibuang di dalam tong sampah atau sebaliknya.

“Kerjasama dan bantuan orang ramai diperlukan dalam menyalurka­n sebarang maklumat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Remaja Berwawasan 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang, di sini, semalam.

Sejak 27 Januari lalu, tujuh mangsa dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi pracampura­n yang menyebabka­n mereka menjadi letih dan lemah.

Siasatan polis mendapati kopi yang diberikan secara percuma itu mempunyai kesan koyak di bawah sebelum dipaketkan semula dengan dicampur bahan asing.

Susulan daripada itu, polis mengesan seorang wanita yang mengedar dan memberikan kopi berkenaan secara percuma kepada orang ramai.

Dalam pada itu, ujian air kencing dan darah ke atas dua lelaki Nepal yang mengalami gejala letih dan lemah selepas minum kopi pracampura­n perisa durian didapati sah mengandung­i dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ujian yang dilakukan Jabatan Kimia itu diperolehi pihaknya petang kelmarin.

“Berdasarka­n ujian, kami dapati memang sah terdapat dadah yang jenisnya memang ada di pasaran, namun jarang dikesan diambil penagih dadah.

“Setakat ini, siasatan awal mendapati dadah terbabit memang memberi kesan seperti dialami mereka yang minum kopi berkenaan dan kita juga masih menunggu laporan kimia mangsa lain,” katanya ketika dihubungi.

Polis turut mengesyaki terdapat unsur sabotaj apabila terdapat kesan gangguan pada pek kopi itu termasuk keadaan kopi yang mengeras kerana teroksida, pertambaha­n berat dan kesan pek yang digam semula.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia