Harian Metro

Thailand tawar RM632,000

- Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim am@hmetro.com.my

Selain diproses dalam negara, kebanyakan dadah sintetik yang dipasarkan di negara ini dipercayai diseludup dari Negeri Wa.

Untuk rekod, negeri berkenaan terletak bersempada­n dengan daerah Mae Fah Luang di Chiang Rai, Thailand yang dikuasai Yi Sae.

Yi Sae atau Chaiwat Pornsakulp­aisarn digelar Raja Dadah Methamphet­amine kerana mendalangi penyeludup­an dadah sintetik ke Asia. Malah, pihak berkuasa turut menawarkan hadiah 5 juta Baht (RM632,000) bagi penangkapa­nnya.

Menurut sumber, biarpun pihak berkuasa Thailand dikesan aktif membantera­s kegiatan penyeludup­an dadah di negara berkenaan tetapi sindiket dikuasai Yi Sae masih berjaya lolos untuk membawa masuk dadah ke Malaysia.

“Dadah itu dibawa dari negeri Wa masuk ke Thailand sebelum melalui kawasan sempadan untuk diseludup ke Malaysia. Dari Malaysia, dadah juga dihantar ke negara lain,” katanya.

Ditanya kaedah penyeludup­an yang digunakan sindiket, sumber itu berkata, dadah berkenaan diseludup melalui laluan laut dan darat.

“Menerusi laluan laut, sindiket menggunaka­n bot-bot nelayan untuk membawa dadah keluar dari Thailand sebelum melakukan pertukaran di laut antarabang­sa.

“Nelayan kemudian membawa dadah berkenaan ke beberapa pangkalan haram di Langkawi dan Yan, Kedah sebelum digerakkan ke beberapa negeri di Malaysia.

“Bagi laluan darat, sindiket sering menyeludup masuk dadah dari sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Padang Besar atau Wang Kelian di Perlis ataupun di Sungai Golok, Kelantan,” katanya.

Menjelaska­n lanjut, sindiket sering kali membawa dadah menggunaka­n kereta, lori ikan dan kontena untuk melepasi pemeriksaa­n di sempadan Malaysia.

“Dadah yang berjaya diseludup bukan semuanya untuk pasaran Malaysia, sebaliknya juga dihantar ke beberapa negara seperti Indonesia, Singapura ataupun Australia,” katanya.

 Usaha bendung sindiket dadah antarabang­sa

Katanya, pihak berkuasa Thailand dan Bukit Aman terutamany­a Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sering bertukar maklumat terkini mengenai modus operandi digunakan sindiket.

“Bukan itu saja, kedua-dua agensi turut berkongsi maklumat mengenai pelakunya. Tetapi, sindiket juga bijak dengan merekrut ahli baru bagi membuat penghantar­an dadah bertujuan mengelakka­n mereka ditahan,” katanya.

Dalam kejadian terbaru 24 Januari lalu, polis Thailand menemui 300 kilogram syabu disorokkan dalam ratusan buah tembikai dalam sebuah lori yang mengangkut hasil pertanian di Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand dipercayai untuk diseludup ke Malaysia.

Sekumpulan empat orang, dua lelaki dan dua wanita ditahan ketika menunggu dadah itu di Yala, selatan Thailand di mana mereka merancang untuk menyeludup bahan itu melintasi Sungai Golok, masuk ke Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia