Harian Metro

Perancang culik tumpas

 Polis bantuan antara 29 suspek ditahan

- Ayusliza Azizan am@hmetro.com.my

Seorang anggota polis bantuan yang berkhidmat di sebuah kementeria­n di Putrajaya antara 29 individu yang ditahan kerana terbabit dalam jenayah terancang seperti samun dan culik.

Suspek berusia 42 tahun yang berkhidmat selama enam tahun dikenal pasti menjadi perancang utama jenayah berkenaan di sekitar Lembah Klang sejak 2016.

Semua individu membabitka­n 24 lelaki dan lima wanita termasuk dua warga Bangladesh ditahan menerusi siri tangkapan bermula 3 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, penahanan mereka yang berusia 20 hingga 60 tahun dilakukan hasil siasatan membabitka­n kes penculikan seorang pengurus syarikat di Bandar Baru Sungai Buloh, 12 Disember tahun lalu.

“Mangsa yang juga lelaki berusia 35 tahun diculik kumpulan lelaki menggunaka­n kereta Perodua Myvi dan meminta wang tebusan RM500,000 untuk membebaska­n mangsa.

“Mangsa dibebaskan di Bemban, Melaka selepas wang tebusan dibayar. Mangsa cedera pada badan.

“Siasatan membawa kepada penahanan tiga lelaki. Kami menyita sebuah Proton Waja milik seorang daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Menurut beliau, hasil soal siasat dan maklumat awam membawa kepada penahanan baki suspek di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

“Pada operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor menyelesai­kan enam kes samun sebuah syarikat pengurup wang di Lembah Klang, satu kes bunuh di Kuala Lumpur dan kes melarikan orang di Pandan Indah tahun lalu.

“Selain itu, wang tebusan RM124,400 dirampas manakala dua buku akaun bank berjumlah RM14,000 dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

“Kami merampas revolver .38 dan 450 butir peluru hidup 9 milimeter (mm),” katanya.

Menurut Mazlan, enam kenderaan disita untuk siasatan lanjut iaitu Proton Waja, Proton Iswara, Perodua Viva, Ford Ranger dan dua Perodua Myvi.

“Arahan pendakwaan ke atas 11 suspek dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, Seksyen 5 Akta Culik 1961 dan Seksyen 10 Akta Culik 1961. Mereka akan dituduh di Mahkamah Shah Alam esok (hari ini).

“Semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Culik 1961,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalanka­n siasatan mengenai jenayah terancang bagi kumpulan itu mengikut Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas 2012) (SOSMA).

 ??  ?? MAZLAN (kanan) menunjukan barang yang dirampas di sidang media di IPK Selangor.
MAZLAN (kanan) menunjukan barang yang dirampas di sidang media di IPK Selangor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia