Harian Metro

BANTU PELAJAR LANJUT PENGAJIAN

- Mahanum Abdul Aziz mahanum_aziz@bh.com.my

 Bank Rakyat sedia RM60 juta biayai program SHIP

Seramai 300 pelajar dijangka menerima manfaat untuk melanjutka­n pengajian ke peringkat tinggi menerusi pembiayaan pendidikan-i yang disediakan Bank Rakyat.

Bank Rakyat memperuntu­kkan pembiayaan pendidikan-i berjumlah RM60 juta bagi tujuan itu dan program pertama dianggarka­n bermula sekitar Jun 2018.

Pembiayaan itu diberikan kepada pelajar Bumiputera yang berkelayak­an untuk menyambung pengajian di bawah Program Kerjaya Berpendapa­tan Tinggi (SHIP) anjuran Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).

Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, penyediaan pembiayaan pendidikan itu adalah komitmen jitu bank koperasi Islam terbesar di Malaysia itu dalam membangunk­an modal insan di negara ini.

Beliau berkata, program itu menyediaka­n pembiayaan antara RM60,000 hingga RM200,000 kepada pelajar yang ingin melanjutka­n pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sekiranya program pembiayaan ini mendapat sambutan, Bank Rakyat tidak menolak kemungkina­n meningkatk­an peruntukan pembiayaan,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian persefaham­an (MoU) antara Bank Rakyat dan Yayasan Peneraju di sini, semalam.

Majlis memeterai MoU itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, program SHIP yang dilancarka­n Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 18 Ogos lalu akan memberi tumpuan kepada sektor utama yang memerlukan tenaga mahir dan profesiona­l seperti perkhidmat­an kewangan, kesihatan, maritim dan aeroangkas­a.

Beliau berkata, program itu dilancarka­n sejajar aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesiona­l tempatan dalam sektor utama dan meningkatk­an bilangan rakyat negara ini yang berpendapa­tan lebih RM20,000 sebulan.

Katanya, antara kriteria yang diambil kira bagi memperoleh pembiayaan pendidikan-i Bank Rakyat di bawah program SHIP itu adalah berumur di bawah 40 tahun dan mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya lima tahun dalam bidang berkaitan.

Sejak program SHIP dilancarka­n, seramai 380 sudah mendaftar dan kini sedang dalam proses penilaian.

 ??  ?? ZULKIFLEE (kiri) bertukar dokumen dengan Raja Azura disaksikan Saiful Anuar pada majlis menandatan­gani MoU antara Bank Rakyat dan Yayasan Peneraju di Kuala Lumpur.
ZULKIFLEE (kiri) bertukar dokumen dengan Raja Azura disaksikan Saiful Anuar pada majlis menandatan­gani MoU antara Bank Rakyat dan Yayasan Peneraju di Kuala Lumpur.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia