Harian Metro

Kirthana dilanda musibah

-

Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, R Kirthana berdepan detik ‘getir’ apabila mengalami kecederaan hamstring sewaktu beraksi di temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 yang sedang berlangsun­g di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Lebih memilukan, kecederaan itu mungkin menghalang penyertaan atlet kebangsaan itu di Kejohanan Pra Sukan Asia Indonesia, Ahad ini. Dia sepatutnya menyertai acara lompat kijang dan lompat jauh pada kejohanan yang dijadual berlangsun­g pada 11 hingga 14 Februari itu.

Kirthana juga bergelut dengan kecederaan lama di bahagian belakang badannya yang dialami sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

“Hari ini saya kecewa kerana tidak mencapai jarak yang saya mahukan, apatah lagi ketika saya membuat larian jarak pendek.

“Saya beraksi dalam keadaan belakang yang belum pulih sepenuhnya. Tiba-tiba hari ini saya mengalami hamstring pula.

“Kecederaan itu berlaku ketika saya mahu memanaskan badan. Sukar untuk saya berlari tetapi saya teruskan saja. Ini kerana saya hendak mencuba sebelum beraksi di Pra Sukan Asia,” kata Kirthana ketika ditemui di Stadium UKM, hari ini.

Mengulas lanjut, atlet itu berkata, dia hampir menangis apabila dilanda masalah terbaru itu namun menegaskan tidak mampu berbuat apa-apa selain berehat.

Begitupun, atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia yakin kecederaan itu dapat pulih segera kerana sasarannya adalah untuk mencipta rekod peribadi terbaik selain melayakkan diri ke Sukan Asia di Jakarta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia