Harian Metro

‘Puas curi mata di Darul Aman’

- Izzali Ismail sukanteam@nstp.com.my

Alor Setar: “Empat mata yang dikumpul dalam tempoh tiga hari adalah satu keputusan yang sangat menggembir­akan kami kerana bukan semua pasukan datang ke Kedah dapat pulang dengan kemenangan,” kata pengendali Perak Mehmet Durakovic selepas kejayaan anak buahnya membenam Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman kelmarin dan mengikat Pahang 0-0 di Kuantan, Ahad lalu.

“Kami berjuang berhabis-habisan sepanjang 90 minit kerana kami sedar bukan tugas yang mudah untuk beraksi di Darul Aman, tetapi dengan perancanga­n dan usaha seratus peratus yang ditunjukka­n oleh semua pemain akhirnya kami berjaya cipta kemenangan,” kata Durakovic.

“Pemain berjaya mengikut taktikal seperti yang dirancang dan mereka lakukan apa yang saya arahkan dengan cuba mengatasi corak permainan Kedah yang kami sudah jangkakan, dan akhirnya kami berjaya hasilkan keputusan yang memihak kepada kami.”

Durakovic berkata dengan kemenangan dan motivasi yang diperolehi melalui kemenangan ini, Perak tetap akan meningkatk­an lagi prestasi dan mutu permainan untuk mengharung­i perlawanan seterusnya bertemu PKNS FC di laman sendiri esok.

“Kami perlu teruskan usaha kerana perjalanan liga masih panjang. Tiga mata yang dikutip di Darul Aman ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana Kedah adalah salah sebuah pasukan yang terbaik di Malaysia selain JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua pemain saya yang telah menjalanka­n tanggungja­wab dengan cemerlang pada malam ini. Kemenangan ini hasil kerjasama semua pemain yang bermain dengan semangat satu pasukan,” katanya.

Alor Setar

Layangan kad merah antara punca kegagalan Kedah untuk bangkit memburu kemenangan, dan akhir terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 Kedah di tangan Perak pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Ketua Jurulatih Kedah Ramon Marcote ternyata kecewa kerana layangan kad merah itu diterima selepas Kedah berjaya menyamakan kedudukan di babak kedua perlawanan.

“Kami berpeluang untuk meneruskan perlawanan selepas menyamakan kedudukan di babak kedua di mana rentak perlawanan dikuasai oleh kami, namun layangan kad merah kepada Liridon Krasniqi selepas empat minit gol penyamaan meranapkan usaha kami, seterusnya hingga ke hujung perlawanan,” kata Marcote.

“Ternyata sukar untuk kami bangkit dengan 10 pemain dan saya mengambil risiko dengan meletakkan tiga pertahanan dalam usaha memburu gol. Pemain saya sudah berusaha sebaik mungkin namun kad merah benar-benar membunuh impian kami untuk mencari kemenangan.”

Marcote juga mengakui Perak sudah menduga corak permainan Kedah apabila memberi tumpuan kepada serangan balas dan situasi bola mati, termasuk memberi tekanan lebih kepada pemain tengah, Krasniqi dan Sandro Da Silva yang mampu memberi ancaman buat pertahanan Perak.

“Sukar untuk kami bangkit kerana Perak mempunyai pemain yang berpengala­man dan mengambil kesempatan ke atas kekurangan kami di penghujung perlawanan. Kekalahan pertama di laman sendiri musim ini mengecewak­an kami.

“Pemain pertahanan Alvaro Silva yang diharapkan untuk beraksi masih belum pulih sepenuhnya dan saya tak mahu mengambil risiko. Saya mahukan dia beraksi, tetapi kecederaan otot pada kaki menyebabka­n dia perlu berehat hingga pulih sepenuhnya bagi mengelak kedederaan bertambah buruk.

“Perak ternyata memiliki kelebihan dengan kekuatan lima pemain import berpengala­man di mana pada malam ini mereka hadir dengan tiga tonggak dari Brazil serta dua lagi pemain dari Australia dan Filipina.

“Jika kita menerima seorang lagi import kuota pemain Asean, ia dapat membantu meningkatk­an kekuatan pasukan. Namun jika tiada import kelima maka saya tiada pilihan melainkan meneruskan cabaran ini kerana Kedah juga memiliki pemain muda yang berbakat,” katanya.

 Marcote terkilan Lang Merah gagal manfaat kelebihan beraksi di laman sendiri

 ??  ??
 ??  ?? PEMAIN Perak Nazirul Naim Che Hashim (kiri) mengekang pergerakan Akhyar Rashid.
PEMAIN Perak Nazirul Naim Che Hashim (kiri) mengekang pergerakan Akhyar Rashid.
 ?? Mehmet Durakovic ?? Pemain berjaya mengikut taktikal seperti yang dirancang dan mereka lakukan apa yang saya arahkan dengan cuba mengatasi corak permainan Kedah yang kami sudah jangkakan”
Mehmet Durakovic Pemain berjaya mengikut taktikal seperti yang dirancang dan mereka lakukan apa yang saya arahkan dengan cuba mengatasi corak permainan Kedah yang kami sudah jangkakan”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia