Harian Metro

Khabar duka balik haji

- Poliana Ronnie Sidom poliana@bh.com.my

 Warga emas rindu anak dibawa isteri ke Filipina

Seorang warga tua berharap dapat berjumpa semula dengan tiga anaknya yang dipercayai dibawa lari isterinya pulang ke Filipina sejak tujuh tahun lalu.

Untong Sumok, 78, penghuni Rumah Warga Tua Sri Harapan di sini, mendakwa isterinya yang juga warga negara itu membawa tiga anak mereka iaitu Noryanti, 20, Muhammad Nordin, 17, dan Lokman, 10, pada 2011 ketika dia ke Makkah untuk menunaikan haji.

Untong berkata, isterinya Thelma Panes, 53, dipercayai membawa lari anak mereka ke negara asal selepas rumah didiami di kawasan setinggan Kampung Muhibbah, Batu 2 1/5 di sini, dirobohkan pihak berkuasa.

Katanya, dia pernah mencari anaknya dan ke tempat dipercayai kampung isterinya di Makilala di Mindanao berpanduka­n maklumat rakan pada November 2011, namun usahanya selama dua minggu mencari di setiap pelosok kampung menemui jalan buntu.

“Pulang dari Makkah, bukan saja rumah tiada, isteri dan anak pun hilang.

“Sebelum ke Makkah, saya tinggalkan wang RM20,000 kepada isteri kerana bimbang anak tiada tempat tinggal selepas rumah diroboh namun tak sangka ia berakhir seperti ini,” katanya.

Untong berkata, sepanjang tujuh tahun, dia tidak pernah menerima khabar berita daripada isteri dan anak.

“Siapa tak sayangkan anak lebih-lebih lagi mereka semua rapat dengan saya dan saya terlalu rindu dengan mereka.

“Saya cuma mampu berdoa dapat berjumpa dengan mereka selagi saya masih hidup,” katanya sambil mendakwa dia kini hidup sebatang kara selepas tiga adik-beradiknya meninggal dunia.

Sementara itu, Penguasa Rumah Warga Tua Sri Harapan, Roslan Muhammad berkata, Untong dimasukkan ke rumah warga tua berkenaan pada Julai tahun lalu menjadikan jumlah keseluruha­n penghuni pusat jagaan itu kini seramai 53 orang.

Katanya, lelaki terbabit memohon masuk ke rumah warga tua itu melalui saudara-maranya dan berharap orang ramai yang ada maklumat atau mengenali tiga anak Untong dapat menghubung­i pusat jagaan itu.

 ??  ??
 ??  ?? UNTONG
UNTONG
 ??  ?? NORYANTI
NORYANTI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia