AKTIF CEBURI BIDANG KOPERASI
Jana lebih pendapatan tingkat ekonomi setempat
Usahawan di sekitar daerah ini digalakkan untuk lebih bergiat aktif dalam menceburi bidang keusahawanan koperasi bagi menjana lebih pendapatan, sekali gus meningkatkan ekonomi pelbagai sektor daerah ini.
Ini berikutan masyarakat di daerah Papar khususnya golongan usahawan belum terdedah sepenuhnya dengan kepentingan dan keistimewaan bidang keusahawanan koperasi.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata demikian dalam Program Lestari Modal Insan Koperasi yang diadakan bertempat di Dewan Masyarakat Papar di sini, semalam.
“Menurut statistik dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hingga 31 Disember 2017, 37 buah koperasi aktif ditubuhkan dengan bilangan keanggotaan 9,778 orang di sekitar daerah Papar, namun hanya 25 buah saja koperasi yang aktif.
“Untuk makluman, keseluruhan modal syer koperasi di Papar RM264,942 dengan pemilikan aset bernilai RM1,816,862.
“Antara aktiviti yang diceburi koperasi di Papar ialah pengguna dengan 24 koperasi, aktiviti perindustrian dengan tiga koperasi, aktiviti perkhidmatan dengan empat koperasi dan enam koperasi bagi aktiviti pertanian,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Maktab Koperasi Malaysia Prof Datuk Mohd Yusof Kasim, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah Yahya Sulaiman dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah Umar Sarim Saidin.
Rosnah berkata, penyumbang utama perolehan koperasi di daerah ini ialah melalui aktiviti pengguna dari koperasi sekolah (sembilan koperasi) dengan nilai perolehan lebih RM1 juta bagi 2017.
“Daripada statistik yang dikeluarkan SKM, masih terdapat ruang dan peluang yang boleh direbut oleh masyarakat di Papar.
“Skop perkhidmatan koperasi perlu diperluaskan serta mencakupi pelbagai bidang dengan keberanian melakukan transformasi agar boleh terus berkembang bersama dokongan lebih ramai anggota masyarakat,” katanya.
Rosnah juga turut menggesa koperasi di sekitar daerah Papar untuk terbabit secara aktif dalam sektor pemborongan dan peruncitan khususnya.
“Saya menggesa koperasi di Papar meningkatkan pembabitan di dalam sektor pemborongan dan peruncitan melalui inisiatif Kedai Harga Patut yang diwujudkan di setiap kawasan parlimen,” katanya.