Harian Metro

Tetamu terkulai

- Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

 Lelaki dua beradik maut ditetak ketika sambutan hari lahir

Majlis sambutan hari lahir yang mulanya diadakan meriah bertukar tragedi berdarah apabila dua beradik lelaki maut ditetak berpunca salah faham dan pergaduhan.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam, mangsa masing-masing berusia 36 dan 44 tahun diserang ketika berada di pekarangan Blok B, Flat Damansara Bistari, Seksyen 19 di sini.

Kedua-dua mangsa berasal dari Batu 7, Jalan Damansara di sini dikatakan pergi ke majlis berkenaan yang diadakan di sebuah khemah di hadapan Blok B flat berkenaan pada tengah malam.

Difahamkan, lebih 30 tetamu lain termasuk wanita dan kanak-kanak mulanya makan malam di sebuah restoran berhampira­n untuk sambutan hari lahir ke-21 anak salah seorang kenalan mangsa yang tinggal di flat berkenaan.

Selepas selesai makan malam kira-kira jam 11.30 malam, kebanyakan tetamu lelaki tidak terus pulang sebaliknya berkumpul untuk berbual dan minum termasuk arak di khemah berkenaan termasuk kedua-dua mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superinten­dan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pertikaman lidah di antara kedua-dua mangsa dengan tetamu lain di khemah berkenaan.

“Ketika kejadian, kebanyakan mereka dikatakan berada dalam keadaan mabuk. Buat masa ini, polis belum pastikan apakah punca sebenar pertengkar­an itu.

“Namun, pergaduhan itu menyebabka­n beberapa tetamu lain menyerang dua beradik terbabit dengan senjata tajam dipercayai parang.

“Kedua-dua mangsa cedera parah akibat beberapa tetakan dan pasukan perubatan yang dikejarkan ke lokasi mengesahka­n kedua-duanya meninggal dunia,” katanya semalam.

Susulan kejadian itu, pihaknya menahan lapan individu termasuk seorang wanita, semuanya berusia sekitar 30-an hingga 50-an bagi membantu siasatan.

Kebanyakan yang ditahan adalah tetamu pada majlis hari lahir berkenaan termasukla­h penganjur majlis.

“Senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa turut ditemui di lokasi,” tambah beliau.

Katanya, mayat dua beradik itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali memberitah­u dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 5 pagi ketika keluar rumah untuk ke tempat kerja.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi bising, mungkin kerana kejadian itu berlaku ketika semua penduduk lain sedang lena tidur.

“Penduduk di sini kenal baik dengan penganjur majlis hari lahir itu kerana dia juga sudah lebih 11 tahun tinggal di flat ini. Dia ada minta kebenaran penduduk lain untuk mendirikan khemah bagi mengadakan majlis berkenaan,” katanya ketika ditemu bual wartawan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia