Polis cuci masjid sebelum maut
Kuala Lumpur: “Sebelum ini ayah pernah berkata sudah tidak seronok menunggang motosikal, selain berpesan supaya saya menjaga lima adik serta ibu. Tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” kata Wan Muhamad Adha, 26, anak sulung anggota Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya
Koperal Wan Marecan Wan Muhammad, 51, meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi model BMW GS1200 ditunggangnya kemalangan di Jalan Kuching di sini.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam, mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Wan Muhammad Adha berkata, bapanya seorang yang ceria dan sering berjenaka apabila berjumpa dengan mereka adik-beradik biarpun bapanya itu tinggal bersendirian di Pantai Dalam di sini.
Malah, dia berkata, bapanya itu seorang yang mengambil berat dan bertanggungjawab selepas bercerai dengan ibu mereka kira-kira sembilan tahun lalu.
“Kebiasaannya dalam seminggu, ayah akan melawat sebanyak tiga kali. Cuma, saya tak sangka apabila berjumpanya kira-kira tiga hari lalu, sikap pendiam ayah menimbulkan tanda tanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HKL bagi menuntut jenazah mangsa.
Sementara itu, polis meminta individu yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian Wan Marecan supaya tampil membuat laporan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai dan menyebabkan kemalangan maut.
Katanya, dalam kejadian berkenaan, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan menyebabkan tercampak ke pembahagi konkrit di tengah jalan berkenaan.