Harian Metro

Kembalikan semula kepada Red Giant

-

Sepang: “Stadium Shah Alam akan kembali menjadi gelanggang pasukan Red Giant jika Barisan Nasional (BN) kembali merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” kata Datuk Seri Najib Razak.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 2018 di Homestay Banghuris, Kampung Ulu Chucoh, di sini, semalam.

Najib berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau amat memahami isi hati orang muda Selangor berhubung isu berkenaan.

“Stadium Shah Alam pun kita akan serahkan balik kepada pasukan Red Giant,” katanya.

Sebelum ini, skuad bola sepak Selangor tidak dapat beraksi di Stadium Shah Alam pada Liga Super musim ini susulan masalah antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri sejak penghujung 2016 menyebabka­n pasukan itu perlu mencari gelanggang lain.

Pada perlawanan sebelum ini, pasukan Red Giant terpaksa beraksi di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah.

Perdana Menteri berkata, jika BN memenangi PRU-14 di Selangor, beliau juga akan memastikan hak Majlis Belia Negeri Selangor (MBNS) terhadap kompleks belia di Seksyen 7, Shah Alam turut dikembalik­an.

Terdahulu, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan Selangor di bawah kepemimpin­an Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menganakti­rikan pelbagai pihak di negeri berkenaan.

Beliau berkata, isu Stadium Shah Alam dan kompleks belia itu antara contoh keadaan di mana warga Selangor dinafikan hak hingga terpaksa menjadi ‘pelarian’ di negeri sendiri.

“Kalau hari ini kita (BN) menang, esok Stadium Shah Alam diserahkan balik kepada Red Giant,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia