Harian Metro

Bisnes guna ‘bakul’ demi sesuap nasi

- Penulis pelajar Universiti Alexandria, Mesir

Kehidupan sukar rata-ratanya dirasai penduduk tempatan. Situasi ekonomi tidak menentu menyebabka­n golongan berpendapa­tan rendah di Mesir semakin meningkat.

Semakin lama bermukim di sini, semakin saya mengenali pola masyarakat­nya.

Perjuangan setiap insan di negara ini membuatkan saya insaf dan sedar betapa bersyukurn­ya kita tinggal di Malaysia.

Penduduk Mesir berjumlah 95 juta orang. Penduduk di Iskandaria­h saja mencecah 5 juta orang. Boleh gambarkan keadaan jalan raya sesak dengan kereta mahupun kenderaan awam?

Kesesakan lalu lintas mahupun tram (kereta api ringkas) seperti tin sardin, itu menjadi lumrah hidup kami walaupun penduduk Iskandaria­h tidak seramai

Kaherah manakala bunyi bingit hon seakan muzik di sini.

Seramai 95 juta manusia hidup di Mesir pada setiap masa, berjalan dan berusaha sedaya mereka mencari sesuap nasi buat mengisi perut. Ia dilakukan termasuk dengan cara meminta sedekah mahupun berusaha menjual sebungkus tisu berharga LE1 (RM0.25).

Di Mesir, tidak hairan sekiranya di satu lorong terdapat banyak kedai runcit menjual barangan serupa.

Sekiranya kedai pertama menjual roti dan beras, kedai kedua juga menjual barangan sama. Kesempitan hidup membuatkan mereka tidak kisah dengan persaingan dalam perniagaan.

Antara contoh menarik kegigihan rakyat Mesir mencari nafkah ialah penjual sayur dan buah-buahan yang kerap menolak kereta sorong untuk dijual dari rumah ke rumah.

Mereka menolak kereta sorong berisi pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan tidak kira cuaca sejuk mahupun panas demi sesuap nasi.

Setiap kali mereka menyorong kereta sorong itu, mereka akan menjerit atau menggunaka­n pembesar suara untuk menarik perhatian penduduk. Keadaan ini jarang kita lihat di Malaysia.

Antara budaya membeli dan menjual yang menarik perhatian saya adalah menggunaka­n bakul kecil yang diturunkan dari rumah tingkat atas.

Di Mesir, rumah-rumahnya dibina seperti flat tinggi kerana kekurangan tanah. Jika anda pernah menonton filem Ayat-Ayat Cinta, pasti anda tahu mengenai adegan menurunkan bakul dari tingkat atas.

Bakul kecil ini selalunya diturunkan apabila ada kereta sorong menjual barangan di bawah mahupun digunakan oleh mak cik atau pak cik tua yang kurang upaya menaiki dan menuruni tangga.

Mereka akan meletakkan sejumlah wang di dalam bakul itu dan menjerit dari atas mengenai barang yang mereka inginkan.

Sebagai contoh, sekilo bawang berharga LE10 (RM2.50), maka duit LE10 diletakkan di dalam bakul. Penjual akan meletakkan sekilo bawang di dalam bakul itu untuk ditarik naik ke tingkat atas.

Banyak juga kelihatan orang mengambil upah membeli barang. Kadangkala mak cik tua menggunaka­n khidmat mereka yang lalu lalang untuk membelikan barang keperluan di kedai berdekatan.

Disebabkan keunikan budaya ini, kami pun cuba membeli bakul untuk diguna di rumah.

Rupa-rupanya sewaktu membeli bakul ini, tali yang diguna untuk turun naik itu diukur mengikut ketinggian rumah.

Rumah kami di tingkat 2 memerlukan kira-kira 4 meter tali untuk dipakai. Kami teruja sewaktu kali pertama menggunaka­n bakul itu ketika ingin membeli kentang dan sayur-sayuran.

Ia sangat mudah dan menyenangk­an kehidupan. Anda tidak perlu bersusah payah ke pasar untuk membeli barang.

Selain itu, bukan saja kereta sorong menjual buah-buahan mahupun sayuran, malah tong gas juga dijual di tepi rumah.

Kesempitan hidup di Mesir menjadikan setiap peluang digunakan pendudukny­a untuk mencari rezeki. Jika anda menaiki tram, peniaga barang kecil-kecilan seperti tisu dan makanan ringan juga banyak kelihatan.

Kesungguha­n mereka meneruskan hidup itu menyentuh hati bila melihatnya. Kadangkala sewaktu cuaca sejuk mencengkam, mereka masih setia menolak barangan untuk dijual.

Kita membeli daripada perniagaan kecil bukan untuk mereka membeli kereta mahupun pakaian mewah, tetapi cukup sekadar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan sesuap nasi.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia