Harian Metro

Makin tua makin menjadi

- Suraya Roslan suraya@hmetro.com.my

 Bekas pesara polis tak jemu timba ilmu bergelar peguam

Kesungguha­n seorang pesara polis menimba ilmu dalam bidang undang-undang nyata membuahkan hasil apabila kini dia bergelar peguam.

Yahaya Othman, 60, dengan pangkat terakhir sebagai superinten­dan berbangga dengan profesion barunya sebagai peguam bela dan peguam cara demi meneruskan bakti kepada masyarakat.

“Ketika masih berkhidmat dalam pasukan polis, saya bertatih menyambung pelajaran sehingga menerima Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sebaik tamat perkhidmat­an dalam pasukan polis, saya mengambil pelbagai ujian yang ditetapkan Jabatan Peguam Negara untuk melayakkan diri bergelar peguam.

“Alhamdulil­lah, awal bulan lalu saya secara rasminya bergelar peguam dan kini berkhidmat dengan firma guaman di Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia kini memiliki lima kelayakan akademik iaitu Diploma Psikologi Kaunseling, Diploma Kehakiman dan Guaman Islam, Diploma Siswazah Sains Kepolisan, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Undang-Undang dariUKM.

“Saya menyambung pelajaran sedikit demi sedikit ketika berkhidmat sebagai pegawai polis bagi mengisi hari tua selepas bersara.

“Bermula 2008 hingga 2016, saya adalah pegawai polis berstatus penuntut universiti. Saya berharap menjadi contoh buat yang lain kerana usia bukan penghalang menyambung pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi dalam hidup,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PHD).

Beliau bersara sebagai pensyarah di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras menganggap khidmatnya kepada masyarakat perlu diteruskan walaupun sudah bersara.

“Saya diberi kesihatan baik oleh Allah SWT dan mengambil kesempatan ini untuk terus berkhidmat demi masyarakat selepas menimba pengalaman ketika bertugas sebagai pegawai pendakwa polis selama lapan tahun di Mahkamah Majistret Kelantan.

“Daripada situ, saya memasang cita-cita bergelar peguam selepas tamat perkhidmat­an dalam polis dan menggunaka­n peluang yang diberikan kerajaan dengan menyambung pelajaran ketika menjadi pegawai polis,” katanya.

Menurutnya, selama 38 tahun dalam pasukan polis, pelbagai pengalaman ditimba demi menjadi peguam berdedikas­i dan menegakkan keadilan untuk pelanggann­ya.

“Saya berharap perkongsia­n kisah ini dapat dijadikan contoh buat pegawai dan anggota polis lain untuk terus menyambung pelajaran dalam bidang diminati.

“Kerja hakiki sebagai polis bukan penghalang untuk kita mengejar impian kerana bagi saya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Inilah peribahasa yang sentiasa saya pegang kemas dalam kamus hidup demi mengejar cita-cita sebelum menutup mata,” katanya.

 ??  ?? YAHAYA bersama isteri Mahanum Abu Bakar di rumah mereka.
YAHAYA bersama isteri Mahanum Abu Bakar di rumah mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia