Harian Metro

Pemain negara ‘tenggelam’

- Jugjet Singh jugjet@nst.com.my

 Panel pemilihan skuad kebangsaan harus sedar siapa wajar digugurkan selepas tamat MHL

Liga Hoki Malaysia (MHL) yang menutup tirainya kelmarin, wajar membuka mata pihak bertanggun­gjawab apabila pemain tempatan gagal menyerlah apatah lagi negara bakal berdepan banyak kejohanan penting tahun ini.

Jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen dan anak buahnya akan mengharung­i Piala Azlan Shah (3-10 Mac) diikuti Sukan Komanwel Gold Coast (4-15 April), Sukan Asia Jakarta (18 Ogos - 2 Sept) dan Piala Dunia (28 Nov - 16 Dis).

Kejohanan paling penting pastinya di Sukan Asia di mana Malaysia berharap mampu memenangi emas Sukan Asia pertama sekali gus layak ke Olimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Olimpik ialah di temasya Sydney 2000.

Bagaimanap­un, jika dilihat kepada persembaha­n pemain tempatan di MHL, mereka belum cukup bagus untuk menyinar di pentas antarabang­sa atau memenangi mana-mana gelaran tahun ini.

Empat penjaring terbanyak MHL kali ini dikuasai pemain import diketuai bintang Argentina, Gonzalo Peillat dengan 16 gol dan ia cukup untuk membuktika­n pemain Malaysia tidak mampu menyerlah di laman sendiri - dengan cuaca, makanan serta penyokong yang memihak kepada mereka.

Satu lagi fakta yang jelas dapat dilihat ialah sekurang-kurangnya tiga pemain kebangsaan, tenggelam bersama pasukan masing-masing dan secara jujurnya, mereka tidak layak untuk mewakili negara ke mana-mana kejohanan tahun ini.

Mereka sewajarnya digugurkan apatah lagi bekas pemain kebangsaan, Baljit Singh yang beraksi bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dilihat jauh lebih baik.

Panel pemilihan skuad kebangsaan serta van Huizen sendiri menyaksika­n MHL dan mereka harus sedar siapa yang wajar digugurkan.

“Kebanyakan kelab utama mengeluark­an belanja tinggi untuk membawa masuk pemain import dan justeru, mereka wajar memberikan lebih banyak aksi kepada pemain yang dibawa masuk berbanding pemain tempatan.

“Itulah sebabnya mengapa pemain import beroleh peluang lebih banyak untuk menjaringk­an gol dan kami sedar dengan hakikat itu,” kata van Huizen yang dijangka menggunaka­n sepenuhnya pemain Piala Asia untuk ke Kejohanan Piala Azlan Shah kecuali penjaga gol, S Kumar yang masih menunggu keputusan doping.

Pada saingan musim ini, UniKL berjaya memecahkan monopoli Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sejak sekurang-kurangnya 10 tahun lalu dengan memenangi Piala TNB.

KLHC menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Alagendra manakala THT memenangi gelaran Liga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia