Harian Metro

TAK SABAR KE LOKASI

- Georgie Joseph georgie@hmetro.com.my

Ezzaty tidak tunggu lama terima tawaran berlakon selepas habis berpantang

Baru habis menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan cahaya mata sulung, pelakon Ezzaty Abdullah tidak menunggu lama untuk kembali ke set penggambar­an.

Menjadi antara pelakon yang menjayakan siri KL Gangster: Underworld, dia tidak berehat panjang dan terus bekerja semula.

Ezzaty yang juga isteri pelakon Azwan Kombos berkata, dia ada alasan sendiri untuk tidak berehat lebih lama dan menerima tawaran berkenaan.

“Pertama sekali, saya sangat rindu untuk kembali ke set penggambar­an. Lagipun, saya sudah cukup berehat dan tiba masanya untuk bekerja semula.

“Namun, alasan paling utama tentu sekali tawaran untuk berlakon dalam KL Gangster: Underworld itu sendiri. Ia satu tawaran keemasan dan saya tidak mahu melepaskan­nya

“Siri ini bakal menjadi produk tempatan pertama terbitan iflix. Tentu sekali ia boleh memberikan kelebihan daripada segi profil kerjaya saya,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai siri yang akan diarahkan Faisal Ishak itu, Ezzaty menyifatka­n tawaran itu adalah pembuka terbaik tirai kerjaya seninya untuk tahun ini.

Mana tidaknya, barisan tenaga yang terbabit semuanya bukan calang-calang dan dia mahu menjadi sebahagian daripada projek berkenaan.

“Saya sudah lama menunggu masa untuk kembali berlakon di bawah arahan Faisal. Saya pernah bekerja dengannya sekali, tetapi itu pun sudah agak lama.

“Selain itu, seperkara yang buatkan saya lebih teruja adalah dapat berganding dengan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim dan Azhan Rani.

“Rugi jika saya tolak tawaran itu dan melepaskan peluang berganding­an dengan mereka. Lagipun, skrip serta jalan ceritanya sangat bagus dan sesuatu yang segar,” katanya.

Dalam pada itu, Ezzaty kini bahagia menjalani kehidupan sebagai ibu kepada Harum Dalia.

Menurutnya, dia mahu meluangkan masa sebaiknya dengan cahaya matanya itu walaupun sudah kembali bekerja.

Lebih penting buatnya, dia tidak mahu melepaskan Harum kepada pembantu rumah dan mahu dia atau ahli keluarga lain yang menjaganya.

“Walaupun sudah kembali berlakon, saya akan pastikan untuk melihat jadual penggambar­an supaya tidak terlalu padat. Buat masa ini, saya cuma mahu tawaran penggambar­an yang menuntut saya untuk tidak berjauhan lama dengan keluarga.

“Syukur untuk penggambar­an KL Gangster: Underworld, ia cuma menuntut saya berada di set selama tiga ke empat hari. Selebihnya saya akan berehat lima hari dan itu masa yang saya gunakan untuk menjaga Harum.

“Suami juga tiada masalah untuk saya kembali bekerja semula dan akan mengambil alih menjaga anak apabila saya tiada. Saya tidak boleh tinggalkan anak dengan orang lain termasuk pembantu rumah.

“Jika saya dan suami kena keluar bekerja, saya akan hantar Harum ke rumah kakak ipar,” katanya.

 ??  ?? EZZATY rasa bertuah terbabit dalam siri KL
Gangster: Underworld.
EZZATY rasa bertuah terbabit dalam siri KL Gangster: Underworld.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia