Harian Metro

Hanya ambil protein

-

Syihan sangkut ujian doping, nafi ambil bahan terlarang

Penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi menafikan mengambil sebarang bahan terlarang namun mengakui kesilapann­ya mengambil bahan sumber protein mungkin menjadi penyebab dia gagal ujian doping yang dilakukan ketika Kejohanan B-23 AFC di China bulan lalu.

Syihan berkata, bahan protein yang diambilnya sejak Mei tahun lalu itu hanya makanan tambahan untuk kecergasan selepas melakukan latihan.

“Saya cuma mengambil protein untuk pemulihan tubuh selepas melakukan latihan dan saya sudah meneliti kandungan protein itu, tiada bahan terlarang. Tapi biasalah, mungkin orang nak jual barang, tak akan beritahu ada bahan terlarang dalam produk mereka.

“Saya memang tidak tahu menahu langsung (ada bahan terlarang) dan protein ini saya hanya ambil tahun lalu, sebelum ini saya ada ambil protein lain juga. Memang saya agak terkejut bila dapat tahu ujian doping saya positif, sebab saya tak ambil barang terlarang.

“Ketika di China, memang ada doktor pasukan bertanyaka­n kepada semua pemain sama ada, ada pemain mengambil ubat atau makanan tambahan, saya beritahu mengenai protein ini dan tidak ada masalah,” kata Syihan ketika dihubungi, semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengesahka­n ujian sampel B bagi kes doping Syihan dibuat kelmarin selepas ujian sampel A yang dilakukan di Changshu disahkan positif bahan terlarang, metabolite methandien­one.

Pemain berusia 22 tahun itu dipilih secara rawak untuk menjalani ujian doping selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari lalu.

Syihan tidak beraksi langsung sepanjang kejohanan kerana ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menurunkan Ifwat Akmal Chek Kassim pada perlawanan bertemu Iraq itu dan seorang lagi penjaga gol, Haziq Nadzli pada tiga perlawanan berikutnya hingga Malaysia tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada suku akhir.

Pada 6 Februari lalu, FAM menerima surat daripada Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) yang menyatakan Syihan didapati positif metabolite methandien­one, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankua­sa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Syihan dikatakan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantun­gan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabat­an dan perlawanan rasmi.

Pemain Negeri Sembilan itu kini hanya menunggu keputusan ujian sampel B sama ada kekal positif atau negatif.

“Sekarang saya hanya berserah kepada Allah dan saya anggap ini ujian serta pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati. Saya berharap keputusan berbeza untuk ujian sampel B, jika positif sekali pun, saya berharap tidak dikenakan hukuman berat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia